'Dah cabut bateri pun kereta kena curi juga'

Iklan
Kereta Tuan Mohd Ezani yang hilang di parkir di Flat Sri Guchil Damai. Kereta Tuan Mohd Ezani yang hilang di parkir di Flat Sri Guchil Damai.
Kereta Tuan Mohd Ezani yang hilang di parkir di Flat Sri Guchil Damai.
KUALA KRAI - Seorang kakitangan kerajaan yang hendak ke tempat kerja terkejut mendapati kereta yang di parkir di pekarangan Flat Sri Guchil Damai, di sini, hilang hari ini.

Lebih mengejutkan apabila kereta yang ditinggalkan pemilik tanpa bateri tetap berjaya dilarikan pencuri dalam tempoh kurang 12 jam.

Tuan Mohd Ezani Tuan Haris, 36, berkata, dia yang bertugas di Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai kali terakhir menggunakan kereta Honda Ek berwarna merah kira-kira jam 9 malam semalam untuk ke hospital.

"Selepas itu kereta diletakkan di tempat biasa di pekarangan flat. Tapi, pagi tadi sampai saya dapati kereta tak ada, saya tak percaya jadi saya cari di kawasan sekitar tetap tak jumpa.

"Saya tinggal di flat ini lebih setahun dan kecurian kereta bukan kejadian pertama di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, keretanya juga pernah dicungkil dan dia percaya ia adalah cubaan untuk melarikan kenderaannya itu.

"April lepas ada cubaan larikan kereta penghuni flat yang diletakkan di tempat letak kereta di sini, tapi gagal sebab ada orang awam nampak, saya yakin suspek kes orang yang sama,” katanya.

"Disebabkan beberapa kes curi di kawasan ini, saya cabut bateri dan juga kunci kereta sebagai langkah keselamatan, tapi kereta tetap jadi mangsa pencuri,” katanya.