Penjual jagung rebus diminta jaga imej Kelantan

Iklan
Izani meluangkan masa membeli jagung di gerai-gerai yang disediakan kerajaan negeri di kawasan tersebut.

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan mahu tiga elemen penting iaitu kebersihan, imej dan isu harga dititik beratkan peniaga jagung rebus di kawasan tarikan pelancong di Pantai Cahaya Bulan, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, ketiga-tiga elemen tersebut perlu sentiasa dijaga memandangkan peniaga-peniaga tersebut mencerminkan sebahagian daripada rakyat negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Gerai mesti kekal dengan keadaan bersih. Peniaga pun mesti bersih. Jaga imej, pakaian kita supaya orang tengok sedap mata memandang. Harga pun sama. Jangan pula kita sengaja naikkan harga apabila kita tahu pembeli itu adalah pelancong, jual pada harga yang sama. Keberkatan itu penting.

"Cara bercakap, cara kita melayan pembeli, kekalkan semua ini. Insya-ALLAH, tidak mustahil gerai jagung di Kelantan akan menjadi lokasi utama pelancong ke negeri ini,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Sebelum itu Izani menyampaikan sumbangan sembilan periuk pengukus jagung dan tuku kepada sembilan peniaga di kawasan Kampung Tikat, Banggol, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan 12 buah pondok jualan bernilai RM12,000 setiap satu bagi memudahkan peniaga-peniaga tersebut menjalankan aktiviti mereka di tepi jalan.

Iklan

Beliau juga memberitahu, langkah mengindahkan kawasan tersebut amat penting kerana ia menjadi laluan utama pelancong untuk ke kawasan jualan batik serta pembuatan keropok di Kedai Buloh.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Izani memberitahu, kerajaan negeri juga turut merancang melakukan penambahbaikan di kawasan jualan di pesisir pantai PCB.

"Saya tidak mahu bangunkan PCB dengan bangunan besar, saya mahu kita kekalkan alam semula jadi, lebih kepada taman awam dan rekreasi awam untuk riadah.

"Insya-ALLAH, kalau ada rezeki kita sediakan gerai mengikut standard yang sepatutnya dan kita jaga dari segi kebersihan serta sebagainya,"katanya.

Dr Izani Hussin berkata, pematuhan terhadap SOP tersebut amat penting kerana ia merupakan tanggungjawab individu untuk memastikan mereka tidak dijangkiti wabak tersebut.

Menurutnya, penjarakkan sosial dan penggunaan topeng penutup muka perlu terus dilaksanakan sebaik mungkin walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Memang saya tidak berpuas hati. Cuma dari segi penguatkuasaan itu kita serahkan kepada agensi-agensi yang berkaitan.

"Kita akui, bila kita buka semua (premis), kita tengok ada sedikit tidak cukup tenaga dari segi penguatkuasaan.

"Walaupun begitu, kita kena jaga diri sendiri, Covid-19 ini berjangkit, ia boleh kena pada sesiapa," katanya kepada pemberita di sini selepas menyampaikan sumbangan periuk kepada peniaga jagung rebus di Kampung Tikat di sini hari ini.

Katanya, masyarakat tidak boleh mengharapkan kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya mereka perlu ada rasa tanggungjawab untuk melakukan kawalan terhadap diri sendiri.

"Jangan harapkan kepada penguatkuasaan sahaja. Kekuatan imuniti itu sendiri yang penting. Jaga kebersihan, jaga pemakanan.

"Jika imuniti tinggi, memang kita tidak mudah dijangkiti penyakit," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru rakyat negeri ini untuk mengutamakan kebersihan kediaman bagi mengelak berlakunya kes denggi.

"Sekarang ini musim hujan, maka sama-sama kita jaga kebersihan rumah supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan sebagainya," katanya.