Kekalkan trend penurunan kes untuk capai sasaran

Iklan
Kulanthayan (atas, kiri) dan Teik Hua (atas, kanan) ketika program bual bicara langsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Sindrom Pemandu Mabuk hari ini.

SHAH ALAM - Malaysia dilihat berpotensi mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-202O untuk mengurangkan sebanyak 50 peratus kadar kemalangan jalan raya pada tahun 2020.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, pelan menerusi inisiatif dilaksanakan Kementerian Pengangkutan itu yang turut dibentuk berasaskan pelan The Decade of Action 2020 kini hanya tinggal enam bulan sahaja untuk dinilai keberkesanannya secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, melihat kepada perkembangannya buat masa ini negara dilihat mempunyai peluang untuk mencapai sasaran 50 peratus itu atau sekurang-kurangnya menghampiri jumlah tersebut.

Katanya, jumlah 50 peratus itu melibatkan kira-kira 5,300 angka kematian dan setakat tahun lalu, negara mencatatkan sebanyak 6,167 angka kematian.

Iklan

"Mulai tahun 2017 angka kematian sudah mula menunjukkan penurunan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut walaupun angka kemalangan meningkat.

"Dua tahun pertama penurunan sebanyak lima peratus dan tahun lepas hampir dua peratus. Momentum penurunan ini perlu dikekalkan, selain kita juga memerlukan intervensi dan sumber tambahan yang lebih besar untuk penurunan seterusnya.

Iklan

"Jika momentum ini dikekalkan dan pengurangan hampir 10 peratus dapat dilakukan, kemungkinan sasaran pengurangan 50 peratus kadar kemalangan jalan raya yang ditetapkan itu akan berjaya dicapai," katanya pada program bual bicara langsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Sindrom Pemandu Mabuk hari ini.

Kulanthayan berkata, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik koronavirus (Covid-19) bermula 18 Mac lalu, pergerakan kenderaan juga didapati sudah mula menurun.

"Untuk tempoh 82 hari pada tempoh itu, kita berjaya catat angka kematian kurang dari purata harian kes pada tahun lepas.

"Jadi jika kita dapat amalkan pergerakan selamat di jalan raya termasuk menjaga semua aspek keselamatan pada baki tempoh enam bulan tahun ini, peluang untuk capai atau menghampiri angka sasaran itu pasti dapat direalisasikan," katanya.

Program bual bicara itu turut disertai Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Profesor Madya Dr Law Teik Hua dan dimoderatorkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Husalshah Rizal Hussian.

Sementara itu, Teik Hua berkata, beliau melihat agak sukar untuk mencapai sasaran 50 peratus pengurangan kadar kemalangan jalan raya pada tahun ini walaupun sejak tiga tahun lalu terdapat penurunan kes dilaporkan.

"Menjelang hujung tahun ini, kita mungkin dapat menghampiri jumlah itu tetapi tidak akan mencapai 50 peratus.

"Untuk sampai ke tahap sasaran itu, perjalanan masih jauh dan ia memerlukan komitmen daripada kerajaan," katanya.