KUALA KRAI - Seorang pengedar dadah dicekup bersama 1,666 biji pil kuda bernilai RM24,990 dalam satu serbuan berhampiran sebuah kedai makan di tepi jalan Kampung Bukit Sireh di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, suspek berusia 26 tahun itu dicekup pada jam 1 pagi bersama motosikal dari jenis Yamaha LC 135.
Iklan
Iklan
"Sejurus anggota saya memperkenalkan diri sebagai polis, suspek cuba bertindak meloloskan diri.
"Bagaimanapun dia berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg silang membawa kepada penemuan bahan terlarang itu dan polis turut menemui pelbagai jenis mata wang tunai bercampur-campur berjumlah RM4,111.
Suzaimi berkata, saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.