Trend kes pemandu mabuk meningkat

Iklan
Teik Hua menunjukkan terdapat beberapa peruntukan perundangan yang boleh diambil ke atas pemandu mabuk.

SHAH ALAM - Kes berkaitan pemandu mabuk di negara ini dilihat amat serius susulan terdapat trend peningkatan kes bagi tempoh tahun lalu dan enam bulan pertama tahun ini.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani berkata, trend peningkatan kes itu dilihat ketara berbanding tahun 2018.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, malah pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyebut jumlah kes berkaitan pemandu mabuk pada dua suku pertama tahun ini hampir sama dengan jumlah seluruh kes pada tahun lepas.

"Keadaan itu jelas menunjukkan ada trend peningkatan, malah dari segi isu kematian ia banyak melibatkan orang di luar kenderaan seperti pengguna jalan raya lain serta pejalan kaki berbanding pemandu mabuk itu sendiri.

Iklan

"Disebabkan itu, kes berkaitan pemandu mabuk ini menjadi satu isu yang penting serta menarik perhatian," katanya pada program bual bicara langsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Sindrom Pemandu Mabuk hari ini.

Program itu turut disertai Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua dan Timbalan Pengarah Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Husalshah Rizal Hussian sebagai moderator.

Iklan

Kulanthayan berkata, kes berkaitan pemandu mabuk perlu ditangani sebaik mungkin kerana ia bukan saja menunjukkan peningkatan dari segi trend kes tetapi juga melibatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi data berkaitan pemandu mabuk di negara ini bagi tempoh 10 tahun lalu iaitu antara 2010 hingga 2018.

Menurutnya, angka kematian awal dicatatkan sebanyak 49 kes, sebelum ia naik mendadak pada tahun 2012.

Namun katanya, mulai tahun 2017 ke 2018, ia menunjukkan trend penurunan berbanding gambaran diperoleh masyarakat pada hari ini.

"Itu kalau kita lihat pada fakta. Pada 2018 angka kematian disebabkan pemandu mabuk dilaporkan sebanyak 54 kes berbanding jumlah keseluruhan kes kematian pada tahun itu sebanyak 6,000 lebih dan peratus kematian disebabkan pemandu mabuk jika dibandingkan dengan jumlah kematian adalah kurang satu peratus.

"Ini bermakna, isu pemandu mabuk hanya menyumbangkan satu peratus dari angka kematian, sementara 99 peratus lagi adalah sumbangan isu-isu lain yang turut boleh menyebabkan kehilangan nyawa seperti kelajuan, langgar lampu merah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Teik Hua berkata, terdapat tiga sebab utama mengapa kes berkaitan pemandu mabuk itu tidak dapat ditangani sejak dahulu lagi.

Menurutnya, rata-rata pemandu mabuk tidak faham dan bersikap terlebih yakin kerana berpandangan mereka tidak mabuk, mereka juga menganggap denda dikenakan sedikit sehingga mengambil ringan perkara itu.

Teik Hua menunjukkan terdapat beberapa peruntukan perundangan yang boleh diambil ke atas pemandu mabuk.

Selain itu katanya, tahap penguatkuasaan yang dilihat memberi banyak kelonggaran kepada pemandu mabuk turut menjadi punca.

"Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ada banyak peruntukan seksyen yang boleh digunakan ke atas pemandu mabuk ini seperti Seksyen 43 yang bukan khas kepada pemandu mabuk sahaja, Seksyen 44, Seksyen 45 dan banyak lagi.

"Oleh itu, pemandu mabuk di luar sana mempunyai kebarangkalian yang sangat rendah untuk tidak didakwa di mahkamah.

"Namun tindakan undang-undang hanya pendekatan untuk jangka pendek saja, kita perlu ada pendekatan jangka panjang iaitu melalui pendidikan walaupun ia mengambil masa," katanya.