Serah pimpinan pilih Ketua, Timbalan Wanita PKR Pusat

Iklan
Azlinah (tengah) bersama Ketua Cabang Wanita PKR Negeri Sembilan dan ahli jawatankuasa menyatakan sokongan terus setia bersama PKR.

SEREMBAN - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menyerahkan keputusan penuh kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih Ketua dan Timbalan Wanita PKR Pusat yang baharu.

Ketua Wanitanya, Azlinah Zamli berkata, pihaknya menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh pimpinan Pusat bagi meneruskan perjuangan parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai nama tertentu untuk dipilih sebagai calon namun menyerahkan sepenuhnya pemilihan pemangku Ketua dan Timbalan Wanita PKR Pusat kepada pucuk pimpinan.

"Kami sudah menjangka keputusan bekas Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr Daroyah Alwi untuk meninggalkan parti ini malah kami terima dengan hati yang terbuka hasrat mereka yang mengikut jejak langkah beberapa bekas pimpinan lain yang telah meninggalkan perjuangan parti.

Iklan

"Pemimpin datang dan pergi namun kami Wanita PKR Negeri Sembilan sesekali tidak akan berundur malah sentiasa setia dan terus tekad demi mencapai matlamat asas perjuangan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Akademi Ahsan dekat sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Rosnani Saring dan Setiausaha Ketua Wanita Keadilan Negeri Sembilan, Suriana Khalid.

Pada sidang akhbar tersebut, tujuh Ketua Cabang Wanita turut menyatakan ikrar akan terus kekal setia bersama PKR.

Azlinah

Azlinah berkata, Wanita PKR akan terus memacu ke hadapan dengan membudayakan politik nilai khususnya di bawah pentadbiran Pengerusi Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar, bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa berbelah bahagi.

Katanya, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang pengkhianatan yang berlaku dalam parti dan menganggap mereka seperti duri dalam daging.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar PKR dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa 13 Jun lalu.

Beliau turut mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang 'mesra' Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, keputusan tersebut dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Anwar.