SHAH ALAM - Allahyarham Sarjan Jenain Subi, 58, yang dibebaskan dari sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana didakwa menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, 10 tahun lalu meninggal dunia hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.
Menurutnya, difahamkan Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kira-kira jam 11.15 pagi di depan sebuah kedai serbaneka di Shah Alam ketika hendak membeli makanan kucing.
"Arwah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
"Kami Polis Kontinjen Selangor berdukacita di atas pemergian arwah dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kematian bekas anggota terbabit.
"Saya dimaklumkan berita menyedihkan ini daripada pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 3 petang tadi.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga keluarga tabah hadapi dugaan," katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar, Klang petang tadi.
Pada Disember 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara jam 1.10 pagi dan jam 2 pagi pada 26 April 2010.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan Jenain terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September 2011.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta Proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.