10 politeknik terima akreditasi emas APACC

Iklan
Politeknik Ibrahim Sultan antara 10 politeknik yang terpilih menerima akreditasi emas daripada APACC.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 politeknik Malaysia terpilih menerima akreditasi emas daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) yang merupakan pengiktirafan tunggal untuk institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan politeknik berkenaan ialah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Kota Bharu (PKB), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Politeknik Seberang Perai (PSP), Politeknik Kuching Sarawak (PKS) dan Politeknik Port Dickson (PPD).

Iklan
Iklan

"Pengiktirafan antarabangsa APACC ini membuktikan politeknik Malaysia mampu berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa dan juga sebagai penanda aras kecemerlangan institusi aliran TVET di rantau Asia Pasifik dari aspek kualiti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam terhadap Politeknik Malaysia.

"Ia juga membuktikan Malaysia memiliki kelompok institusi yang berkualiti tinggi dan menyaksikan usaha mengarus perdana aliran TVET. Ini merupakan usaha bagi memastikan politeknik memiliki kelompok bakat yang berkemahiran tinggi,” menurut kenyataan itu.

Iklan
Kenyataan itu menyebut akreditasi tersebut merupakan pengiktirafan yang diberikan berdasarkan tujuh kriteria yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh institusi iaitu Tadbir Urus dan Pengurusan, Pengajaran dan Pembelajaran, Sumber Manusia, Penyelidikan dan Pembangunan, Imej dan Kelestarian, Sumber Pendidikan serta Khidmat Sokongan Pelajar.

"Lebih membanggakan lagi, sembilan politeknik menduduki kedudukan 10 terbaik tangga teratas daripada 26 institusi negara anggota yang memperoleh Anugerah Emas,” menurut kenyataan itu.

APACC merupakan badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) yang beribu pejabat di Manila, Filipina.

Iklan

APACC yang ditubuhkan di Seoul, Korea Selatan pada Disember 2004 dianggotai 17 negara rantau Asia Pasifik.

Menurut kenyataan itu, prinsip asas inisiatif akreditasi dan pensijilan APACC adalah untuk mengharmonikan kualiti pendidikan TVET, mewujudkan standard setara dalam kemahiran yang diajari di institusi TVET selain memudah cara mobiliti pekerja di rantau Asia Pasifik.

"Akreditasi APACC adalah selaras dengan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 yang meliberalisasi pasaran serantau ASEAN. Penganugerahan APACC ini juga merupakan akreditasi tunggal khusus untuk institusi TVET di rantau Asia Pasifik,” katanya. - Bernama