ZURICH - Polis Switzerland kini mencari seorang individu yang telah meninggalkan barangan yang berharga di dalam sebuah kereta api, lapor portal berita CNN pada 15 Jun lalu.
Menurut portal tersebut, barangan yang ditinggalkan itu ialah beberapa jongkong emas dengan nilai lebih AS$190,000 (RM812,060).
Sebuah bungkusan yang mengandungi jongkong emas itu ditemui dalam gerabak Kereta Api Persekutuan Swiss (SBB) yang bergerak dari bandar St Gallen ke bandar raya Lucerne di tengah negara tersebut pada Oktober tahun lalu, kata beberapa pegawai.
Menurut seorang pegawai, pemilik bungkusan itu tidak dapat dikesan walaupun siasatan lanjut sudah dilakukan.
Pegawai yang namanya tidak didedahkan itu menyatakan demikian dalam buletin kerajaan tempatan, Lucerne Canton pada 2 Jun lalu.
Selepas pihak berkuasa gagal untuk mengesan pemilik jongkong emas itu, ia kemudian telah dirampas oleh pejabat pihak pendakwa raya.
Kini, pihak berkuasa memutuskan untuk menyiarkan penemuan itu bagi mencari pemiliknya jongkong emas tersebut.
Dalam buletin itu, beberapa pegawai menyatakan pemiliknya mempunyai masa selama lima tahun untuk membuat tuntutan terhadap jongkong emas tersebut. - Agensi