Demi sesuap nasi terpaksa tinggal di Singapura

Iklan

[LAPORAN KHAS] Demi sesuap nasi, kami tiada pilihan lain, tetapi terus berada di Singapura serta menahan rindu terhadap anak serta keluarga.

Demikian luah Wong Kar Weng, 34, yang bekerja sebagai pengendali makanan dan minuman di sebuah restoran terkemuka di Orchard, Singapura.

Iklan
Iklan

Kar Weng merupakan antara ribuan rakyat Malaysia yang memilih untuk terus berada di Singapura selepas kerajaan Malaysia tidak lagi membenarkan rakyatnya berulang alik ke republik itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung wabak Covid- 19.

Ia menyaksikan dua pintu utama darat Malaysia -Singapura iaitu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, CIQ Bangunan Sultan Iskandar serta CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar ditutup untuk keluar atau masuk sehingga kini.

Iklan

Kar Weng yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun ketika ini dijaga ibu bapanya di Masai, Johor, mengakui keputusan yang dibuat untuk berada di Singapura adalah yang terbaik memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab dari segi kewangan.

"Majikan sediakan penginapan untuk saya di sini. Harga sewa bilik di Singapura agak tinggi iaitu sekitar 350 dolar Singapura bersamaan kira-kira hampir RM1,000 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Kar Weng berkata, ramai rakyat Malaysia yang mengambil keputusan pulang ke tanah air sebelum pintu sempadan ditutup pada tengah malam PKP dikuatkuasakan.

"Perlu fikir banyak kali jika hendak terus berada di Singapura sekiranya majikan tidak sediakan penginapan, sebab kos sewa bilik sangat tinggi di sini.

"Gaji sekitar 1,500 dolar Singapura tidak cukup untuk bayar sewa bilik, makan dan kos-kos harian lain. Jadi ada yang ambil keputusan balik ke Malaysia walaupun sedar mereka akan hilang kerja kerana tidak dapat masuk semula ke Singapura berikutan pintu sempadan ditutup,” katanya.

Kar Weng berkata, perasaan rindu terhadap anaknya, Lannof Wong sukar digambarkan kerana dia tidak pernah berjauhan dengan anaknya itu walaupun sudah enam tahun bekerja ulang-alik ke Singapura sebelum ini.

"Saya terlepas hari paling penting buat Lannof iaitu hari jadinya pada 13 Mei lalu. Setiap tahun saya dan keluarga akan sambut hari jadi Lannof, tetapi saya tidak dapat meraikannya pada tahun ini.

" Lannof selalu berhubung dengan saya melalui panggilan secara video. Setiap hari ada sahaja yang diceritakan Lannof,” katanya.

Jelas Kar Weng, dia benar-benar berharap dapat pulang ke Johor untuk bertemu dengan anak dan keluarganya.

Namun dalam masa yang sama, beliau sedar tidak boleh mengharapkan kedua-dua negara membuka pintu sempadan masing-masing dalam masa terdekat berikutan kebimbangan terhadap wabak Covid-19.