PENGENDALI Juventus Maurizio Sarri menyifatkan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakan sepasukannya dilihat semakin hilang sentuhan 'ketajaman' masing-masing sehingga tewas pada aksi final Coppa Italia, Rabu lalu.
Sarri berkata, hampir kesemua pemain khususnya di jentera serangan pasukan kelihatan tidak cergas dipercayai setelah tidak beraksi dalam perlawanan-perlawanan kompetitif sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, ia jelas dilihat apabila Juventus dipaksa bekerja keras di sepanjang perlawanan dan berjaya diikat lawan tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
"Dia (Ronaldo) memberikan aksi hambar sebagaimana pemain lain seperti seperti Paulo Dybala dan Douglas Costa. Dia juga semakin hilang 'ketajaman' (di depan pintu gol lawan), yang sebelum ini menjadi kepakarannya.
"Saya tidak banyak bercakap dengan pemain selepas perlawanan. Saya marah dan kecewa seperti mereka. Oleh itu dalam keadaan ini, adalah lebih baik untuk saya berdiam diri kerana kita akan berbual lebih baik keesokan harinya," katanya.
Untuk rekod Juventus tewas 2-4 kepada Napoli pada aksi final berkenaan dan menyaksikan Dybala dan Danilo gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Juventus bakal berdepan Bologna Isnin depan dalam usaha memecah kebuntuan jaringan setelah sekadar seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan saingan Serie-A kembali bersambung setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, Mac lalu.
Sementara itu Sarri berkata, biarpun agak kecewa dengan kekalahan berkenaan, namun dia menyifatkannya sebagai satu detik untuk memikirkan mengenai pasukan berkenaan yang dilihat kurang memiliki kepintaran dalam kalangan pemain.
"Memang kekecewaan itu ada dirasai dalam kalangan pemain, kelab serta penyokong. Tetapi seperti kebiasaannya,kami membuat pilihan yang berbeza.
"Bagaimanapun, kami masih kurang daripada segi kepintaran khususnya bagi jumlah perlawanan yang terhasil. Tanpa kepintaran, ia akan menjadi lebih sukar buat kami," katanya.