PERTAHANAN Arsenal, David Luiz sedia memikul tanggungjawab atas kekalahan 0 - 3 pasukannya itu kepada Machester City di Eitihad, awal pagi tadi.
Luiz berkata, kekalahan skuad The Gunners itu dilihat berpunca daripada kesilapannya sendiri dan bukannya disebabkan persembahan buruk rakan-rakan sepasukan.
"Ia bukannya kesalahan pasukan. Ia adalah kesalahan saya. Pemain telah beraksi dengan baik. Jurulatih juga menjalankan tugas dengan baik. Ia cuma kesilapan daripada saya.
"Saya sepatutnya telah membuat keputusan dua bulan lalu, tetapi saya tidak lakukannya dan ia semuanya mengenai kontrak saya di sini (Emirates).
"Saya gembira di sini dan kerana itulah saya berterusan berlatih dengan gigih. Tiada siapa yang meminta saya bersuara, ia adalah kehendak saya sendiri," katanya.
Pada perlawanan berkenaan Luiz yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-24 melakukan kesilapan besar untuk gol pembukaan City sebelum kemudiannya 'menghadiahkan' sepakan penalti dan akhirnya dibuang padang padang pada babak kedua.
Untuk rekod, kontrak pemain kelahiran Brazil itu juga difahamkan bakal berakhir pada penghujung musim ini dan sudah mula kedengaran suara mengatakan Luiz tidak mempunyai masa depan di Emirates.
Sementara itu Luiz berkata, dia sememangnya berhasrat untuk terus beraksi bersama Arsenal dan sedang menunggu keputusan mengenainya.
"Jurulatih (Arteta) tahu mengenai hasrat saya ini. Dia juga mahu saya untuk terus berada di sini (Arsenal)," katanya.