KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan setiap bantuan dan program sokongan kepada golongan gelandangan dibuat secara berkesan agar tiada yang kembali hidup sedemikian, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, perkara itu merupakan antara fokus utama yang diusahakan kementerian agar tiada masyarakat yang menjadikan gelandangan sebagai budaya hidup.
"Kerajaan percaya setiap individu punyai potensi untuk maju. Saya juga harap jika ada yang berniat datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan datanglah terus kepada kita (kementerian). Usahlah pilih untuk hidup bergelandangan.
"Mereka yang niat cari kerja di KL, disyorkan datang terus ke Jabatan Tenaga Kerja atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dianggarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan diwujudkan secara segera bagi mereka yang sedang mencari kerja," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Annuar melakukan 'flag off' pada majlis penghantaran lebih 200 gelandangan untuk mengikuti Latihan Khas di Kem PLKN, Sepang serta pemulihan dan bimbingan di Drug Intervention Community, Kuantan Pahang yang berlepas menaiki tujuh buah bas dari Pusat Transit Gelandangan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Annuar berkata, golongan gelandangan juga bukan diambil bekerja 'begitu' sahaja, namun turut diberikan latihan serta pembangunan diri termasuk daripada aspek pengukuhan psikologi untuk meningkatkan potensi diri agar berjaya keluar dari kehidupan 'lama' secara kekal.
Kementerian turut mempunyai pelbagai perancangan lain lagi antaranya membuka peluang perniagaan kepada anak muda dan penumpuan pembangunan semula ekonomi rakyat meliputi aspek perumahan, perbandaran serta sukan.
Sementara itu, Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berharap parti itu yang meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak dicabar mana-mana calon pembangkang.
"PKR sudah umum tidak mahu letakkan calon. Jadi kita harap jika tiada pertandingan adalah lebih baik. Kita nak mudahkan urusan semua dan tidak mahu susahkan rakyat. Kalau ada yang mahu bertanding nanti kena kempen dan sebagainya.
"Khususnya dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kita rasa itulah (tiada pertandingan) yang terbaik dan kawasan itu juga diketahui memang asalnya tempat BN," katanya.
PRK DUN Chini dijadual pada 4 Julai dengan 20 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). - Bernama