IPOH - Pengusaha pusat hiburan keluarga memohon kerajaan membenarkan premis beroperasi bagi mengelak syarikat menanggung kerugian lebih besar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.
Pengurus Enco Karaoke, Chan Yat Fong berkata, lebih 20 pusat hiburan yang ada di Perak ketika ini terjejas teruk dengan kerugian antara RM20,000 hingga RM40,000 selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi.
"Sewa premis masih perlu dibayar, peralatan digunakan seperti penghawa dingin perlu diselenggara, malah gaji pekerja juga tetap dibayar.
"Dalam tempoh tiga bulan ini, pekerja ambilan kontrak terpaksa diberhentikan dan kami bimbang jika keadaan ini (tidak beroperasi) berterusan akan melibatkan pula pembuangan pekerja tetap," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus The Voice Karaoke, Chia Eu Gene; Pengurus KBox Karaoke, Ng Jeen Hong dan Pengurus Karok Karaoke, Lai Chee Ming.
Yat Fong berkata, satu memorandum prosedur operasi standard (SOP) berhubung operasi sektor pusat hiburan keluarga telahpun dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kesihatan (KKM), minggu lalu.
Katanya, antara penetapan SOP dicadangkan adalah saringan di pintu masuk premis, proses nyahkuman di tempat umum tiga kali sehari serta hanya membenarkan empat pelanggan dalam satu bilik pada setiap masa.
"Sekiranya kerajaan membenarkan operasi, semua pengusaha pasti akan mematuhi SOP ditetapkan, dalam hal ini keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan kami," katanya.