KUALA LUMPUR - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengenal pasti dua lokasi di Pahang yang bakal menjadi tempat latihan pusat skuad kebangsaan pada Julai ini sebagai persediaan beberapa kejohanan antarabangsa tahun hadapan.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, badan induk itu akan menyerahkan surat permohonan kebenaran menjalani latihan pada minggu ini kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk proses kelulusan.
Dua lokasi dipilih Pesaka ialah di Cameron Highlands dan Bukit Fraser.
"Mereka (pesilat terlibat) mesti dipanggil dengan seberapa segera untuk menjalani latihan, kalau tidak saya khuatir persembahan mereka akan menurun kerana sudah lama tidak menjalani latihan.
"Kita hendak berhadapan dengan Kejuaraan Silat Dunia (di Kuching), selain Kejuaraan Sukan Asia Dalam Dewan pertama Mac 2021 di Pattaya, (Thailand) setelah silat diterima sebagai acara rasmi,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain menegaskan latihan pusat berkenaan bukan sahaja bertujuan memastikan pesilat kebangsaan berada dalam prestasi terbaik namun dilihat sebagai medan terbaik memburu kilauan emas pada Kejuaraan Dunia yang menyaksikan Malaysia dipilih selaku tuan rumah.
Beliau berkata, 40 atlet termasuk jurulatih dan pegawai akan menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) terlebih dahulu, sebelum dibenarkan untuk mengikuti sesi latihan pusat berkenaan.
Beberapa kejohanan silat tempatan dan antarabangsa pada tahun ini termasuk Kejuaraan Silat Dunia yang dijadualkan pada Ogos ini di Kuching, Sarawak terpaksa ditunda pada tahun hadapan susulan penularan pandemik Covid-19. - Bernama