Pertumbuhan ekonomi boleh memecut pantas selepas 2020

Iklan

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh memecut dengan pantas selepas 2020 sekiranya harga komoditi meningkat dengan sokongan pemulihan pertumbuhan ekonomi global.

Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik Moody’s Analytics Steven G. Cochrane berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan dalam tempoh dua tahun akan datang kerana prospek ekonomi global yang lemah boleh menjejaskan harga komoditi.

"Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka, terdedah kepada trend global. Setiap rantau di dunia dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan pada 2019 dan 2020,” katanya kepada Bernama semasa Forum Ekonomi dan Risiko Kredit Moody’s Analytics baru-baru ini.

Cochrane mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia (KDNK) mungkin turun daripada 5.9 peratus pada 2017 kepada 4.8 peratus pada 2018, 4.4 peratus pada 2019 dan 3.6 peratus pada 2020.

"Harga komoditi rendah disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan akan menjejaskan pasaran negara sedang pesat membangun dan Malaysia.

"Kami tidak menjangkakan sebarang peningkatan harga komoditi sehingga ekonomi global meningkat,” katanya.

Harga minyak sawit mentah (MSM) mencatatkan penurunan sejak awal tahun ini, dengan harga niaga hadapan MSM berada hampir RM2,000 setan metrik disebabkan paras stok tinggi dan permintaan lemah.

Beliau berkata rangsangan fiskal Amerika Syarikat (AS), yang menyokong ekonomi negara itu dijangka berakhir pada 2020 dan ini akan memperlahankan pertumbuhan ekonominya dan bakal menjejaskan ekonomi global serta pasaran komoditi.

"Jika kita melangkah ke 2020, tanpa kemelesetan di AS dan Eropah, kemungkinan akan ada lantunan semula pertumbuhan global pada 2021 dan 2022,” katanya.

Cochrane berkata perang perdagangan AS-China juga akan menjejaskan perdagangan dan ekonomi global dan perkara buruk yang boleh berlaku adalah ia akan mengganggu rantaian bekalan dan membawa kepada kemelesetan di ekonomi terbesar dunia itu dan turut menjejaskan ekonomi lain.

"Banyak yang bergantung harap kepada mesyuarat antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jin Ping pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 di Buenos Aires pada akhir bulan ini.

"Semua akan mencari isyarat daripada Trump dan Xi sekiranya terdapat sebarang penyelesaian bagi perang perdagangan dan sama ada pentadbiran Trump akan membenarkan tarif dinaikkan kepada 25 peratus seperti yang dijadualkan pada tahun depan,” katanya.

Sekiranya tarif dinaikkan dan diperluaskan dengan memasukkan semua perdagangan antara China dan AS, beliau berkata, ia akan menambahkan lagi kesan kepada ekonomi Malaysia dan global.

Bagi Malaysia, beliau berkata, risikonya jelas negatif kerana jangkaan ekonomi global yang lemah akan menjejaskan harga minyak serta tempahan eksport.

"Sebagai pengeksport bersih minyak, penurunan harga minyak bermakna volum dolar eksport akan berkurangan.

"Harga minyak mentah jatuh kerana permintaan global yang berkurangan dan pengeluaran di kawasan yang mengeluarkan minyak syal AS meningkat dengan pantas sejak setahun lalu.

"Hakikat bahawa pengeluaran AS meningkat dengan pantas bermakna Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum kurang berkeupayaan untuk mengawal harga,” katanya.

Cochrane berkata sekatan ke atas minyak Iran tidak membawa sebarang kesan ketara kepada harga minyak kerana terdapat banyak pengecualian yang dikenakan.

Beliau berkata harga minyak, berdasarkan kepada West Texas Intermediate sebagai pengukur harga minyak, diunjurkan berada pada AS$69.1 setong tahun ini dan bergerak kepada AS$67.2 setong pada 2019 dan AS$63.5 setong padan 2020.

Cochrane menegaskan bahawa usaha Malaysia untuk menambah baik ketelusan dan peralihan lancar kuasa kepada kerajaan baharu tahun ini adalah positif dari segi keyakinan pelabur dan dalam tempoh jangka panjang pengurusan hutang yang baik akan menyokong pertumbuhan ekonomi kerana peruntukan yang kurang untuk melunaskan hutang.

"Ketika kerajaan mengetatkan dasar fiskal untuk meningkatkan pengurusan hutang dalam keadaan pertumbuhan eksport yang lemah, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan bagi tempoh dua tahun akan datang,” katanya. –Bernama