18 anggota pasukan keselamatan disyaki terlibat sindiket jenayah ditahan

Iklan
JOHOR BAHRU - Demi bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan, sekumpulan pegawai dan anggota pasukan keselamatan dipercayai sanggup menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 18 pegawai serta anggota, polis dan tentera ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan itu, dalam operasi sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada lima pegawai dan anggota ATM berlainan pangkat, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini ,12 anggota berpangkat rendah iaitu sembilan daripadanya bertugas di IPD Kota Tinggi, dua di Bukit Aman dan seorang Polis Marin Wilayah Dua.

"Kesemuanya lelaki, berusia di antara 24-41 tahun, ditahan oleh petugas Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJ),” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya perkara ini terbongkar susulan penahanan 40 ahli kumpulan sindiket jenayah terancang yang terlibat kegiatan penyeludupan pendatang asing di negeri ini pada 4 Jun lepas, dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran serta dadah di kawasan Pantai Timur Johor semenjak tiga tahun lepas.

Ayob Khan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek disyaki berperanan dalam menyalurkan maklumat operasi, bersekongkol dan menyembunyikan maklumat bagi memudahkan urusan penyeludupan.

"Ini sindiket jenayah terancang kerana melibatkan pelbagai pihak, kita tidak akan bertolak ansur kerana didapati sudah tiga tahun beroperasi, ia beri impak dan kesan kepada operasi-operasi yang kita jalankan. Ia tidak boleh dibiarkan, tidak kira pangkat kita akan tangkap,” katanya.

"Tunggu dan lihat hasil siasatan kita nanti. Malah ada satu insiden, anggota dan pegawai yang dapat berurusan dengan tekong untuk menyeludup migran dan syabu dengan satu transaksi sahaja, nereka dapat sehingga RM10,000,” tambahnya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 130V sehingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA. - Bernama