KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan aktiviti 'ulat' atau teksi haram kembali aktif di sekitar ibu kota dengan penahanan dua individu membabitkan seorang pemandu teksi dan penjaga kaunter tiket di dua lokasi berasingan hari ini.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, kedua-dua individu tersebut membabitkan seorang pemandu teksi berusia 57 tahun dan penjaga kaunter tiket berusia 39 tahun.
Menurutnya, berdasarkan aduan daripada orang awam mengenai kegiatan itu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa modus operandi dilakukan pihak terlibat.
"Kita menahan pemandu teksi yang didapati keluar dari kenderaannya untuk mencari penumpang di tingkat dua di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Serbuan kedua di Hentian Duta pula, kita menahan seorang wanita merupakan penjaga kaunter tiket yang didapati keluar dari kaunter untuk memujuk orang ramai supaya membeli tiket dengannya," katanya pada sidang media selepas mengetuai Op Ulat di Hentian Duta di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua individu terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat JPJ Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Sementara itu katanya, sebanyak 21 kes direkodkan membabitkan tangkapan 'ulat' pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara, aktiviti 'ulat' mula berkurangan kerana pergerakan orang ramai yang terhad.
"Satu tangkapan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
"Bagaimanapun, kelonggaran pergerakan diberikan kepada orang ramai menyebabkan aktiviti ini kembali aktif,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan itu dan menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan ulat teksi yang menawarkan perkhidmatan pada harga tinggi dan tidak menggunakan meter.
"Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya membeli tiket di kaunter bagi mengelak menjadi mangsa penipuan 'ulat',” katanya.