KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya, Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, Dr Mahathir yang juga negarawan sudah banyak melakukan yang terbaik untuk negara, namun sudah tiba masanya untuk beliau bersama rakan seperjuangan dalam PH menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri yang kesembilan.
"Pengorbanan Tun M sangat dituntut bagi memastikan semangat setiakawan antara rakan-rakan PH dapat digarap dan mengekalkan prinsip idealisme perjuangan reformasi itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, PH perlu terus melangkah ke hadapan demi kebaikan rakyat untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.
"Kami juga rela kembali kepada asas perjuangan, santuni aspirasi anak muda dan kekal fokus kepada isu rakyat walaupun mengambil sedikit masa," katanya.
Semalam, DAP menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir jadi PM, sementara Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke memaklumkan beberapa minggu ini PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Kombinasi pertama melibatkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya manakala kombinasi kedua melibatkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara Anwar sebagai timbalannya.
ARTIKEL BERKAITAN: DAP sokong Dr Mahathir jadi PM, Anwar TPM
Calon PM Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan
Tiada perjumpaan pimpinan PH Plus hari ini
Tidak penting siapa PM, selamatkan negara jadi keutamaan: Amanah