Isu stadium: Megat Shahriman mahu jumpa Annuar

Iklan
Presiden PHKL berharap pertemuan dengan menteri dapat akhiri kemelut isu pemilikan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur.

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung krisis pemilikan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur di Bangsar.

Menurut Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, pertemuan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat diharapkan dapat menyelesaikan krisis berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Iklan
Iklan

"PHKL ingin menjelaskan situasi yang menimpa kami ini bukanlah perkara baharu kerana telah pun berlarutan sejak lima hingga enam tahun lalu.

"Biarpun begitu barisan pengurusan baharu mengambil tanggungjawab berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu berkaitan hak pemilikan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur ini," katanya.

Iklan

Menurutnya, pihaknya juga telah menubuhkan jawatankuasa stadium yang terdiri daripada Setiausaha dan Naib Presiden PHKL bersama dua wakil ahli gabungan.

"Beberapa siri perbincangan melalui surat-menyurat dilakukan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), namun sehingga hari ini kedua-dua pihak masih belum berjaya mencapai kata sepakat.

Iklan

"Jadi kami bercadang untuk memanjangkan perkara ini kepada pihak Menteri Wilayah Persekutuan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini," katanya.

Pada masa sama, Megat Shahriman menegaskan perjuangan pengurusan baharu PHKL adalah untuk memastikan komuniti hoki Kuala Lumpur terus mempunyai stadium sekali gus memperbanyakkan aktiviti pembangunan hoki di sini sebaik tamat tempoh PKP.

"Saya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa pihak telah membuat kenyataan terdahulu tanpa mengetahui keadaan sebenar menjadikan situasi bertambah keruh.

"Jadi harapan saya semoga semua komuniti hoki di Kuala Lumpur faham dan jelas yang pihak PHKL sedang melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Annuar sedia selesaikan masalah persatuan sukan dengan DBKL

KLFA hantar dokumen pelanjutan sewaan stadium hujung Jun