Perak antara negeri terawal bantu pulih pelancongan

Iklan
Ahmad Faizal (tengah) melihat hasil kraf tangan yang dipamerkan di Kellie's Castle sempena pelancaran Travel Vouchers #TravelPerakLah Pasca Covid-19 hari ini.

BATU GAJAH - Perak menjadi antara negeri terawal mengambil langkah proaktif membantu proses pemulihan industri pelancongan dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM10.84 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara insifiatif digerakkan di bawah pakej itu termasuklah menaik taraf infrastruktur pelancongan serta menambah baik dan mempelbagaikan strategi penggalakan pelancongan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah pakej sama, kerajaan negeri juga memberikan pengecualian bayaran kadar cukai tiket kepada pengusaha taman tema sehingga 31 Disember ini dan pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel kepada 560 hotel yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Insya-ALLAH banyak lagi inisiatif yang kita akan diusahakan bagi kembalikan keterujaan rakyat Malaysia melancong ke negeri ini.

Iklan

"Kita yakin usaha-usaha ini akan wujudkan ‘snow ball impact’ ke seluruh industri pelancongan Perak," katanya ketika berucap merasmikan Travel Vouchers #TravelPerakLah Pasca Covid-19 di Kellie's Castle di sini hari ini.

Ahmad Faizal (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Travel Vouchers #TravelPerakLah Pasca Covid-19 di Kellie's Castle Batu Gajah di sini hari ini.

Beliau berkata, industri pelancongan di Perak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah menampakkan perkembangan positif dengan penerimaan lebih 2,600 tempahan bilik hotel di sekitar Ipoh, Taiping dan Pulau Pangkor.

Iklan

Jumlah itu katanya, hanya mewakili 10 peratus daripada keseluruhan hotel di negeri ini dan pihaknya menjangkakan lonjakan lebih tinggi menerusi promosi dan kempen advokasi yang sedang giat dijalankan Tourism Perak.

"Saya difahamkan banyak lagi hotel di Perak dan operator produk pelancongan sudah kembali beroperasi, untuk itu kita perlu bersatu gunakan pelbagai cara kreatif dan inovatif, pendekatan luar kotak untuk mempromosikan.

"Sebagai contoh saya sendiri bagi idea rakam lagu 'Moh Beraya Ke Perak'. Tak ada negeri lain yang ada lagu raya khusus kecuali Perak.

"Alhamdulillah, lagu ini antara top 10 trending di YouTube, bukan sahaja di Malaysia, malahan sampai ke Indonesia pun ada peminat," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, konsep 'travel vouchers' yang diperkenalkan itu akan melibatkan 25 premis penginapan termasuk homestay atau inap desa dan 10 produk pelancongan serata daerah yang terpilih.

Katanya, untuk fasa pertama ini, 1,500 baucar bernilai RM50 dan RM30 disediakan dengan tarikh sah laku dari 1 Julai hingga 30 November ini.

"Sekiranya mendapat sambutan, pemberian baucar ini akan diteruskan bermula Januari 2021 hingga hujung tahun depan," katanya.