18,000 unit rumah skim sewa beli menjelang 2030

Iklan
Jagdeep Singh Deo

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan sebanyak 18,000 unit rumah skim sewa beli menjelang 2030 bagi membolehkan pembeli rumah di negeri ini mendapatkan rumah sebagai inisiatif membantu rakyat terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah tersebut melibatkan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 180,000 unit rumah mampu milik disasarkan pihaknya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri bagi membolehkan pembeli yang sukar membuat pinjaman bank memiliki rumah mereka di samping mengalu-alukan penyertaan pemaju, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menawarkan skim sewa beli bagi projek masing-masing.

"Kita faham kesan paling ketara Covid-19 adalah terjejasnya pendapatan isi rumah rakyat yang menyukarkan mereka mendapatkan pinjaman. Kerajaan negeri akan terus meningkatkan jumlah unit yang boleh ditawarkan melalui skim sewa beli.

Iklan

"Sasaran penyediaan 18,000 unit sewa beli di bawah Gagasan Penang 2030 yang mana setakat ini sebanyak 2,474 berada dalam senarai program itu," katanya pada sidang media di Komtar tadi.

Katanya, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif mengumumkan penurunan harga rumah sebanyak 10 peratus untuk tempoh setahun bagi semua kategori rumah di Pulau Pinang.

Iklan

"Langkah ini dibuat bagi mengelakkan jumlah unit rumah tidak terjual naik mendadak. Usaha ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melibatkan pemaju dan pembeli.

"Pulau Pinang mempunyai 3,053 unit tidak terjual dan 90 peratus daripadanya bukan rumah mampu milik. Maka dengan kaedah penurunan harga rumah, kita berharap agar unit tidak terjual ini dapat dijual," katanya.

Sementara itu, Jagdeep berkata, Jawatankuasa Pemilihan Perumahan Negeri Pulau Pinang (SPEC) memilih 51,618 pembeli yang layak untuk pembelian rumah mengikut kategori.

"Sasaran kita menjelang 2030 adalah 180,000 rumah mampu milik yang mana setakat ini sebanyak 105,719 berada dalam pemantauan meliputi 30,191 telah siap, 24,096 dalam pembinaan dan 51,432 dalam perancangan," katanya.

Dalam padan itu, menurutnya, sehingga 17 Jun, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk semua premis perniagaan di Pulau Pinang mencapai 99 peratus.

"Sebanyak 164,310 daripada 164,865 premis diperiksa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mematuhi SOP, manakala 277,642 daripada 279,774 premis di kawasan seberang diperiksa oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai mematuhi SOP iaitu 99.24 peratus.

"Bagi salon dan kedai gunting pula, 128 premis di bahagian pulau diperiksa dan kesemuanya mematuhi SOP. Di kawasan seberang, 76 salon dan kedai gunting diperiksa dan 89.31 peratus telah mematuhi SOP," katanya.