Aminuddin cabar diri daki Gunung Angsi

Iklan
Aminuddin dan isteri tidak menyangka boleh sampai ke puncak

SEREMBAN – Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mencabar diri dan berjaya mendaki Gunung Angsi yang mempunyai ketinggian 825 meter di Jalan Bukit Putus Seremban - Kuala Pilah di sini, hari ini.

Seawal jam 7.50 pagi, Aminuddin bersama isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof disertai anak mereka Nur Amalina,25; Mohd Irfan, 20; Nur Athira Basyirah,17 dan Mohd Farid Hazim,12, memulakan pendakian dan selamat sampai ke puncak tepat jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

Berkongsi pengalamannya pertama kali mendaki, Aminuddin berkata, beliau sendiri tidak menyangka boleh sampai ke puncak meskipun terpaksa berhenti beberapa kali kerana kepenatan dan tidak menolak untuk cuba mendaki gunung lain di negeri ini, namun bergantung kepada kesihatannya.

Aminuddin dan isteri berehat seketika sebelum sampai ke puncak.

"Keputusan nak ‘hiking’ bersama keluarga ini dibuat saat akhir. Selama ini saya hanya tengok rakan-rakan lain yang sertai aktiviti ini dan timbul juga rasa cemburu.

Iklan

"Jadi saya cuba cabar diri dan sampai juga ke puncak dan selamat turun jam 1.45 petang. Sepanjang mendaki, saya juga tak rasa sesak nafas atau sakit, cuma pergerakan tidaklah selaju pendaki lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, peluang melakukan aktiviti itu membolehkan beliau melihat gunung terbabit yang baru dinaik taraf.

Aminuddin (tiga, kanan) bersama isteri dan anak-anaknya yang berjaya sampai ke puncak Gunung Angsi.

Iklan

"Melalui pemerhatian yang dilakukan, saya yakin Gunung Angsi boleh berkembang menjadi salah satu produk utama pelancongan Negeri Sembilan. Lagipun aktiviti mendaki ini sudah jadi satu ‘trend’ dan saya diberitahu seramai 500 orang yang mendaki gunung ini semalam.

"Kerajaan negeri juga sudah mempunyai pelbagai perancangan untuk menambah baik lagi kawasan ini dan sekitar termasuk jalan lama Bukit Putus bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Salim Aman berkata, antara penambahbaikan dilakukan ketika penutupan trek Gunung Angsi yang bermula 3 hingga 31 Disember lalu ialah pembinaan wakaf baharu menggantikan pondok uzur di puncak gunung.

"Selain itu, kita juga membina pondok dan kerusi di beberapa ‘check point’ di sepanjang laluan, terutama di kawasan yang mempunyai pemandangan cantik bagi membolehkan pendaki berehat dan bergambar.

"Tali serta tangga besi di beberapa kawasan di sepanjang dua trek pendakian bermula di Jalan Lama Bukit Putus dan Hutan Lipur Ulu Bendul itu juga ditukar, trek yang rosak dan licin terutama di kawasan curam pula diperbaiki,” katanya yang turut menyertai pendakian besama Aminuddin.