Sindiket judi dalam talian: 42 individu direman 14 hari

Iklan
Antara individu yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian diberkas di kondominium Jalan Tun Razak, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Seramai 42 individu termasuk dua wanita warga China direman selama 14 hari sehingga 1 Julai depan bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, kelmarin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan tersebut turut membabitkan nilai rampasan sebanyak RM350,000 antaranya melibatkan 231 telefon bimbit pelbagai jenama, 24 set komputer, sembilan monitor, 13 papan kekunci dan tetikus serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan dalam jenayah terbabit.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket ini mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China dengan menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan QQChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, sindiket dipercayai beroperasi kira-kira dua bulan lalu itu menghantar ratusan pesanan aplikasi tersebut kepada pelanggan di China.

"Jumlah bayaran sewa setiap unit premis adalah RM6,500 manakala anggaran gaji bulanan setiap pekerja adalah RM2,500 hingga RM3,000,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.