Buru tiket Piala Dunia 2021

Iklan
Skuad negara tampil dengan reputasi tersendiri pada Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan.

IBARAT misi serampang dua mata, skuad Malaysia meletakkan sasaran mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 seterusnya menyambar tiket Piala Dunia tahun depan.

Pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, sasaran berkenaan dilihat realistik biarpun Malaysia diundi bersama-sama Qatar, Tajikistan dan Yemen dalam saingan Kumpulan D Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan mulai 14 hingga 31 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Kamarul Ariffin, beliau dan barisan kejurulatihan yang diketuai Brad Maloney tidak memandang rendah barisan pencabar mereka dan tetap menghormati kesemua pasukan yang bertanding pada edisi kali ini.

"Kami kini dalam proses mengumpul barisan pemain seramai yang boleh daripada pasukan kelab, negeri untuk mulakan sesi latihan dalam masa terdekat. Kem latihan pusat skuad B-19 negara akan bermula tidak lama lagi.

Iklan

"Kami akan minta pihak pengurusan kelab, pasukan negeri untuk melepaskan pemain mereka. Kami akan cuba mengumpul seberapa ramai pemain pada peringkat awal latihan ini terutamanya yang tidak ada komitmen dengan kelab atau pasukan negeri.

"Bagi saya, tidak ada masalah untuk mengumpulkan para pemain kerana saingan bagi Piala Belia dan Piala Presiden telah dibatalkan. Cuma kami berharap kelab, pasukan negeri dapat memberikan pelepasan kepada pemain-pemain untuk mengikuti latihan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Sebagai rekod, empat pasukan terbaik yang mara ke saingan separuh akhir Kejuaraan AFC B-19 2020 akan layak secara automatik ke pentas Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin berkata, pihaknya juga akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian calitan (swab test) bagi memastikan para pemain bebas daripada masalah kesihatan.

Beliau memberitahu, pihak pengurusan pasukan juga akan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memulakan latihan nanti.

"Kami akan buat SOP sendiri dan mungkin ada sedikit kekangan, tetapi kami akan bekerja rapat dengan pemain yang mewakili pasukan Liga Premier dan Liga Super.

"Apabila tiba masa untuk kita jalani latihan, kita akan tetap mengikuti SOP yang ditetapkan pihak MKN dan KKM. Diharapkan semuanya berjalan lancar sebelum kami menghadapi kejohanan itu nanti,” jelasnya.