SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyatakan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan perbuatan melanggar undang-undang negara.
Presidennya, Adnan Mat berkata, sebagaimana rakyat dan masyarakat awam yang lain, penjawat awam juga tidak terkecuali atau kebal daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan sesuatu aktiviti jenayah atau melanggar undang-undang negara.
Menurutnya, hukuman yang setimpal wajar dikenakan sekiranya ada individu terlibat dengan kegiatan yang dilarang terutama membabitkan soal kedaulatan dan kerahsiaan negara.
"Selain hukuman dan denda, sebagai penjawat awam risiko lain yang harus ditanggung mereka sekiranya terlibat dengan aktiviti melanggar undang-undang ialah mereka boleh digantung tugas, dibuang atau ditamatkan daripada perkhidmatan kerajaan.
"Jika perkara itu berlaku, mereka tidak lagi mendapat apa-apa keistimewaan yang diperoleh sebagai penjawat awam termasuk kemudahan pencen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau mengulas kejayaan Polis Johor menahan 18 anggota keselamatan termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu sejak tahun 2017.
Adnan mengakui berasa dukacita dengan penahanan tersebut dan berharap perbicaraan yang adil serta telus diberikan kepada setiap rakyat termasuk penjawat awam bagi memastikan tidak wujud unsur penganiayaan.
Katanya, Cuepacs berharap semua pihak tidak menjadikan beberapa kes terpencil membabitkan penjawat awam terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang sebagai tanggapan negatif terhadap seluruh perkhidmatan awam.
"Ini adalah sesuatu yang tidak adil bagi penjawat awam lain yang mencurahkan keringat dan bakti demi negara serta rakyat.
"Cuepacs berharap semua penjawat awam sedar dan sentiasa mengingati prinsip atau ikrar kerana mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam mematuhi setiap peraturan serta undang-undang negara,” katanya.