Jangan abai kebajikan pemain

Iklan
Izham Ismail

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyambut baik perancangan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) yang dijangka menyambung kembali Liga Malaysia (Liga-M) September ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, beliau percaya perkhabaran itu memberikan suntikan moral kepada barisan pemain selepas aksi liga domestik ditangguhkan ekoran krisis pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, PFAM dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap setiap pasukan akan sentiasa menjaga kebajikan pemain yang mengalami kesulitan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

"Hubungan kerjasama antara PFAM dan FAM berada pada tahap yang sangat baik dan FAM sangat responsif terhadap perkara-perkara yang kami utarakan demi menjaga keselamatan dan kebajikan para pemain.

Iklan

"Selain FAM, MFL turut memberikan kerjasama dalam mendengar pandangan kami demi memastikan kelestarian liga terjaga. Secara umum, kita sambut baik kerana ini bermakna saingan liga tak dibatalkan. Maka kontrak dan kebajikan para pemain berada dalam perlindungan yang sebaiknya.

"Kerisauan kita adalah jadual padat yang mungkin akan mengundang isu kepenatan dan kecederaan tetapi ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak, namun secara peribadi PFAM percaya ia bukanlah masalah besar,” katanya.

Iklan

Setakat ini, tiga pasukan iaitu Negeri Sembilan, UiTM FC dan Selangor 2 telah mula menjalani sesi latihan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada MFL mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Empat kriteria utama itu adalah semua pasukan ialah melakukan ujian calitan atau ‘swab test’, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Dalam perkembangan sama, Izham turut berharap kesemua pasukan dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha bersama untuk mencegah pandemik Covid-19.

"Pemain-pemain diminta sentiasa mematuhi SOP ketika latihan dan ikut arahan kerajaan demi kebaikan bersama. Bagi pasukan yang membuat perjanjian potongan gaji sehingga latihan kembali bersambung pula, diharapkan dapat kembali membuat bayaran secara penuh dan tidak culas,” katanya.

Dalam masa sama, Izham mengesahkan bahawa PFAM masih menerima aduan pemain berkenaan tunggakan gaji dan laporan tersebut akan diproses.