KUALA LUMPUR - Kesedaran majikan dan bakal pekerja untuk memanfaatkan inisiatif yang disediakan kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah penting dalam usaha memperkasakan masyarakat demi pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Ia selari dengan komitmen dan peranan dimainkan Perkeso dalam melaksanakan semua inisiatif berkaitan iaitu merangkumi lima daripada 40 inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso kini sedang memikul amanah besar dalam membantu majikan dan pekerja terjejas yang akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
"Kita ada banyak kategori golongan yang memerlukan bantuan. Yang hilang kerja disebabkan wabak Covid-19, golongan graduan, pelajar lepasan sekolah, graduan menganggur, yang keluar dari pusat-pusat latihan juga termasuk golongan yang perniagaannya terjejas dan memerlukan kerja (makan gaji).
"Kalau semua ini dikumpulkan, sebenarnya ramai yang sedang mencari kerja dan ramai yang perlu dibantu.
"Justeru, inisiatif yang disediakan kerajaan adalah dengan niat untuk membantu majikan terjejas meneruskan perniagaan seterusnya membantu pekerja dan akhirnya dapat menjana semula ekonomi negara,” katanya dalam temuramah eksklusif bersama Sinar Harian di Menara Perkeso, Jalan Ampang di sini semalam.
Menyentuh mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) yang disasarkan memberi peluang pekerjaan kepada 300,000 pencari kerja, beliau berkata, inisiatif itu amat wajar dimanfaatkan oleh majikan.
"Pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan memperkenalkan insentif pengambilan pekerja ini. Niat kerajaan untuk membantu majikan terjejas.
"Jadi majikan yang telah mempunyai perancangan yang sempurna (selepas tempoh subsidi) jangan teragak-agak dan harus mengambil peluang ini kerana kebanyakan negara maju menggunakan pendekatan ini untuk memulakan semula dan memperbaiki perniagaan,” katanya.
Mengenai Portal MyFutureJobs pula, katanya, dalam tempoh tiga hari permohonan dibuka sejak 15 Jun lalu, sejumlah 1,548 jawatan kosong telah didaftarkan di portal berkenaan.
Manfaat
Dalam pada itu, Mohammed Azman memberitahu, Geran Padanan untuk pekerja Ekonomi Gig (Penjana Gig) yang diperkenalkan juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh individu terlibat dalam sektor itu demi perlindungan keselamatan sosial mereka.
Katanya, insentif tersebut selari dengan perkembangan pasaran buruh di seluruh dunia yang kini terarah kepada perkembangan ekonomi gig atau bekerja sendiri ekoran kadar pengangguran yang meningkat dan penutupan operasi perniagaan.
"Dengan perlindungan percuma selama setahun di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ini, diharap ia dapat meningkatkan kesedaran pekerja ekonomi gig terhadap kepentingan jaminan keselamatan sosial untuk mereka dan keluarga jika berlaku musibah sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai Program Subsidi Upah yang dilanjutkan di bawah Penjana, Mohammed Azman berkata, majikan yang memanfaatkan insentif tersebut perlu bertanggungjawab memastikan pekerja mendapat manfaat daripada program tersebut.
Katanya, Perkeso akan bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memastikan mana-mana majikan yang gagal memenuhi syarat pengambilan insentif itu dikenakan tindakan kerana menyalahi undang-undang bawah Akta Pekerjaan 1955.
"Sebenarnya walaupun majikan menganggap itu bantuan kepada majikan tetapi secara tidak langsung ia adalah bayaran gaji kepada pekerja. Jadi jika pekerja tidak menerima gaji atau gaji dikurangkan tanpa persetujuan, pekerja boleh membuat aduan dan kita akan melindungi identiti pengadu,” katanya.
Terlepas subsidi upah kerana majikan gagal mencarum
Mohammed Azman berkata, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu wabak Covid-19 melanda negara membawa titik kesedaran dan pengajaran besar kepada masyarakat tentang pentingnya caruman bersama Perkeso.
Katanya, ini terbukti apabila sebanyak 5,691 permohonan bagi bantuan di bawah Program Subsidi Upah telah ditolak kerana kegagalan majikan mencarum pekerja mereka sebelum 1 April 2020.
"Bagi yang tidak mendaftar dan mencarum, mereka tidak layak untuk menerima bantuan di bawah inisiatif yang diumumkan kerajaan. Ini salah satu kesan kepada yang degil dan ambil sambil lewa pendaftaran dan caruman Perkeso.
"Saya berharap selepas ini yang masih belum mendaftar dan mencarum agar segera tampil kerana kita tak boleh jangka apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya merujuk kepada kemalangan atau musibah menimpa pencarum yang dilindungi Perkeso.
Pada masa sama, beliau berharap semua inisiatif dilaksanakan Perkeso dapat memenuhi objektif kerajaan membantu majikan dan pekerja untuk bangkit semula termasuk merapatkan jurang kemahiran tenaga kerja negara dengan keperluan industri.
"Saya juga berharap tiada majikan yang menyalahgunakan inisiatif yang dilaksanakan Perkeso bawah pakej-pakej ekonomi kerajaan,” katanya.
INFO
PERANAN PERKESO DALAM PENJANA:
- Memperluaskan Program Subsidi Upah
- Menaik taraf portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MyFutureJobs)
- Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan
- Dana Padanan Caruman untuk perlindungan sosial pekerja ekonomi gig
- Insentif Pengaturan Kerja Fleksibel
SALURAN PERKESO
- Aduan: Boleh ke mana-mana pejabat Perkeso atau e-mel kepada aduansip@perkeso.gov.my atau hubungi 1-300-22-8000
- Maklumat lanjut insentif yang ditawarkan di bawah Penjana: www.perkeso.gov.my atau hubungi talian 03-80915300