TANJONG KARANG - Bunyi pelik di reban ayam di sebuah kuarters kerajaan di Ban Kanal di sini membawa kepada penemuan seekor ular sawa batik sepanjang empat meter petang semalam.
Pemilik rumah yang bimbang dengan bunyi itu kemudian ke reban terbabit terkejut apabila menemui reptilia itu melingkar di dalam reban sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) untuk tindakan lanjut.
Iklan
Iklan
Ketua BBP Tanjong Karang, Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.43 petang semalam.
"Seramai enam pegawai dan anggota kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seekor ular sawa di dalam reban berkenaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama 50 minit bagi menangkap reptilia itu menggunakan penjerut.
Katanya, reptilia itu kemudian dilepaskan ke habitat semula jadi yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.47 petang semalam," katanya.