Ladang sawit haram di Hutan Simpan Berkelah dimusnahkan

Iklan
Kakitangan JPNP memusnahkan tanaman kelapa sawit pada Operasi Tebas di Hutan Simpan Berkelah semalam. -FOTO: IHSAN JPNP

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memusnahkan projek tanaman kelapa sawit seluas 40 hektar yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Berkelah dalam Operasi Tebas di sini semalam.

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamarudeen berkata, siasatan lanjut mendapati, terdapat aktiviti penjualan tanah di hutan simpan itu yang didalangi pihak tertentu kepada beberapa individu.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan ahli sindiket menjual setiap lot tanah seluas dua hektar pada harga RM15,000 bagi tujuan penanaman kelapa sawit.

"Projek berskala besar itu dilakukan secara berperingkat bagi mengaburi pihak berkuasa terutama Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), namun hasil aduan orang awam, kita berjaya mengesan kegiatan dilakukan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita jentolak dan lori yang digunakan bagi membersihkan kawasan terbabit termasuk membina teres.

Ismail menjelaskan, pencerobohan berskala besar itu bukan sahaja merosakkan hutan simpan berkenaan, tetapi menyebabkan berlakunya pencemaran Taman Eko Rimba (TER) Berkelah yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di daerah tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, pihaknya berusaha mengesan dalang yang terbabit dengan kegiatan salah itu dan mengheret mereka ke muka pengadilan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita yakin menerusi tindakan tegas sahaja dapat mengajar pihak terbabit berikutan tindakan dilakukan yang hanya mengejar keuntungan," katanya.