Jangan prasangka dengan wartawan

Iklan
Eddin Syazlee (tengah) menerima cenderahati daripada Manis yang disampaikan Arfi.
SEREMBAN - Pemimpin di negara ini perlu bersikap terbuka dan tidak prasangka terhadap wartawan yang ditugaskan untuk bertanya soalan atau mendapatkan maklumat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, tanggungjawab setiap pemimpin pula untuk menjawab setiap persoalan diajukan wartawan dengan berhemah.

"Jawablah dengan berhemah atau pun kita berdiam diri lebih baik daripada memberi komen yang tak sepatutnya.

"Kita sama-sama bekerja, wartawan pun perlukan maklumat daripada kita. Kalau bukan kita sebagai pemimpin yang jawab, siapa lagi?,” katanya ketika ditemui pada majlis Apresiasi Bersama Media Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pengamal media di negara ini secara umumnya masih berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan.

"Saya sarankan pemimpin mengadakan majlis ramah mesra dengan pengamal media supaya dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua pihak. Sekurangnya kita saling mengenali kerana jika tidak, kita mudah untuk mengandaikan macam-macam.

"Lagipun sebagai pemimpin dan ahli politik kita tak boleh lari daripada wartawan. Jadi, cubalah perbaiki kesilapan lalu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Eddin Syazlee meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra dengan 50 pengamal media termasuk Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (Manis), Arfi Ahmad; Presiden Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana), Zainal Abidin Asri Abd Wahid dan Yang Dipertua Kelab RTM Negeri Sembilan, Shahrul Hairullah Abdullah.