TOKYO - Jepun menarik balik larangan perjalanan antara wilayah bermula Jumaat selepas situasi koronavirus (Covid-19) di negara ini terkawal, kata Perdana Menteri, Shinzo Abe.
"Kita tingkatkan lagi tahap kegiatan sosial dan ekonomi. Tiada lagi sekatan pergerakan antara wilayah," kata Abe pada Khamis.
Sebelum ini, Abe menarik balik perintah darurat di seluruh negara pada akhir Mei lalu, lapor Kyodo News.
Tetapi orang ramai dinasihatkan untuk mengelak melakukan perjalanan keluar dan masuk dari Tokyo dan Chiba, Kanagawa dan Saitama serta Hokkaido, jika tiada keperluan penting.
Tokyo mempunyai jumlah kes paling banyak berbanding 47 wilayah lain manakala Hokkaido baru-baru ini dilanda gelombang kedua jangkitan.
Langkah menarik balik sekatan perjalanan itu diambil untuk memulihkan sektor pelancongan yang teruk terjejas.
Kerajaan berusaha menyeimbangkan antara memperluas kegiatan ekonomi dan meningkatkan langkah berjaga-jaga, sementara pakar kesihatan memberi amaran Jepun mungkin dilanda gelombang kedua jika masyarakat tidak mengambil berat mengenai langkah pencegahan.
Serentak dengan keputusan itu juga, jumlah pengunjung yang dibenarkan menghadiri konsert ditambah menjadi 1,000 berbanding sebelum ini 100 untuk kawasan tertutup dan 200 di tempat terbuka.
Namun, kawasan tertutup hanya dibenarkan separuh daripada kapasiti penuh.
Acara sukan profesional dibenarkan disambung semula walaupun tanpa penonton dengan musim kejohanan besbol Nippon tahun ini bermula Jumaat.
Pada Khamis, Jepun melaporkan 67 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 18,400 termasuk melibatkan penumpang kapal pesiaran Diamond Princess yang dikuarantin di Yokohama pada Februari.
Setakat ini jumlah korban seramai 954 orang. Jumlah kes menunjukkan peningkatan di Tokyo sejak darurat ditarik balik pada 25 Mei. - Bernama