KOTA BHARU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh lagi terus menjadi sebuah parti yang ‘pekak dan buta’ dengan menerima bulat-bulat desakan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) jika mahu terus 'survive'.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, contoh terbesar adalah desakan dalam isu siapa calon Perdana Menteri PH Plus yang masih belum muktamad sehinggakan mencetuskan perpecahan sesama sendiri.
"Apa yang saya hendak tegur ialah kedudukan PKR dalam PH supaya PKR melihat kembali sejauh mana relavannya mereka berada dalam satu kumpulan memandangkan DAP mendesak untuk memberi peluang sekali lagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri PH Plus.
"Untuk PKR terus 'survive' dalam agenda politik Malaysia, PKR tidak boleh tertakluk kepada gesaan daripada DAP. Tiada keperluan lagi duduk serumah, tidur sebantal.
"Saya nak tanya, adakah cadangan DAP supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri itu menjadi salah satu sebab betapa lambatnya mengumumkan calon Perdana Menteri untuk PH Plus,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam masa sama, Dr Mohd Hafidz berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Abd Razak yang mana PKR wajar keluar dari PH kerana mendesak agar menerima Tun M sebagai perdana menteri jika gabungan tersebut membentuk kerajaan.
"Walaupun saya bekas AMK, saya melihat tidak adillah kerana ini adalah masa untuk Datuk Seri (Anwar) menjadi Perdana Menteri.
"Sebagai abang sulung di dalam PH, PKR harus mempunyai pendirian kukuh. Jika nak meneruskan agenda supaya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, dia kena teruskan,” katanya.
Dr Hafidz juga berpandangan bahawa PH sekarang ini hanya memikirkan mengenai kuasa dan mengagung-agungkan perebutan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
"Sedangkan kita sudah mempunyai Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang baik. Selama dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjaga kebajikan rakyat,” katanya.