SHAH ALAM - Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff menyifatkan perubahan tampuk kepimpinan kerajaan yang berlaku ketika ini bukanlah sesuatu perkara baharu kerana situasi sama turut berlaku di negara-negara barat sebelum ini.
Menurutnya, disebabkan percaturan politik, maka parti pemerintah terpaksa ‘gulung tikar’ dan diambil alih parti lain, namun ada beberapa kaedah yang digunakan oleh parti-parti politik untuk mengambil alih kerajaan antaranya termasuklah melalui pilihan raya dan juga seperti apa yang berlaku di Malaysia ketika ini.
"Parti pembangkang akan mengambil alih kepimpinan kerajaan setelah mendapat kepercayaan dan mendapat kedudukan yang selesa untuk menguasai pemerintahan yang sedia.
"Saya nampak apa yang berlaku ini adalah satu kematangan dan bukannya normal baharu. Apa yang berlaku sekarang kerana rakyat memerhati strategi digunakan oleh kerajaan memerintah sebagai satu teras untuk mereka membentuk kerajaan yang lebih dinamik dan menjaga kebajikan mereka,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri ke-174 bertajuk 'Kerajaan Pilihan Pengundi atau Pencatur Politik? di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Dr Syed Agil berkata, kerajaan Pakatan Harapan juga dilihat kurang berkesan dari sudut pengurusan walaupun dalam tempoh 22 bulan itu mereka telah cuba untuk menyelesaikan banyak perkara termasuklah isu-isu rasuah, kebebasan bersuara dan sebagainya.
Selain itu katanya, ahli-ahli politik PH yang kurang berpengalaman juga menyebabkan prestasi mereka dilihat kurang cekap berbanding parti memerintah sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN).
"Malah perubahan dasar-dasar kerajaan yang dilakukan secara drastik juga menyebabkan rakyat tidak selesa.
"Mereka seharusnya menambah baik dasar sedia ada berbanding menukarkan sepenuhnya satu-satu dasar itu sehingga menimbulkan konflik dalam kalangan penjawat awam dan juga rakyat.
"Perkara-perkara sebegini menyebabkan rakyat rasa tidak senang dengan pentadbiran kerajaan PH. Akhirnya dengan strategi politik maka pihak pembangkang berjaya mengambil alih kepimpinan kerajaan dan ia bukannya disebabkan oleh rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, sekiranya rakyat marah dengan pengambilalihan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sudah pastinya mereka akan melakukan protes dengan melakukan demonstrasi sebagaimana berlaku di negara barat seperti Amerika Syarikat susulan isu pembunuhan warga kulit hitam di sana.
Bagaimanapun katanya, rakyat dilihat lebih selesa dengan kerajaan PN ketika ini apatah lagi dengan pemberian pelbagai insentif ketika negara berdepan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).
"Saya merasakan apa yang paling penting di sini bukan sekadar demokrasi tetapi apakah demokrasi itu boleh menjamin kebajikan dan juga keselamatan rakyat dalam suasana tidak ketentuan ini disebabkan Covid-19.
"Jadi di situ rakyat menilai sama ada kerajaan itu adalah kerajaan yang sebenar berkhidmat untuk mereka ataupun sebaliknya,” katanya.