SHAH ALAM - Puteri UMNO bersedia sekiranya terdapat kemungkinan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.
Ketuanya, Zahida Zarik Khan berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi politik semasa yang memungkinkan pilihan raya mengejut (snap election) diadakan.
Iklan
Iklan
"Kami di Puteri UMNO berpendirian situasi politik tidak stabil seperti sekarang ini perlu ditangani dengan bijaksana agar rakyat tidak menjadi mangsa keadaan.
"Kesihatan dan ekonomi rakyat juga mesti menjadi keutamaan di saat ramai yang hilang pekerjaan terutamanya golongan muda," katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya hari ini.
Katanya, walau apa pun yang berlaku, Puteri UMNO sentiasa bersiap siaga terutamanya jika berlaku PRU dalam masa terdekat.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan pihaknya juga baharu selesai bermesyuarat malam tadi dan selain persediaan menghadapi PRU, banyak perkara lain turut dibincangkan bersama.
"Banyak agenda dan perbincangan dilakukan antaranya gerak kerja Puteri di musim PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), isu-isu rakyat terkesan, hilang pekerjaan dan banyak lagi," katanya.