PENYANYI, Amelina Amir, 45, mendedahkan bahawa single terbaharu dangdutnya, Janda Anak Enam mengisahkan secara sinis mengenai kehidupan peribadi sekali gus buat lelaki lain di luar sana.
Menurut penyanyi wanita kelahiran Negeri Sembilan itu, lagu tersebut merupakan kesinambungan daripada lagu Anak Dara.
"Kadang-kadang kehidupan sebelum bergelar ibu tunggal ini tak tahu macam mana.
"Jadi bila mereka kini bergelar ibu tunggal, mereka juga dapat membuktikan sekali gus membuka mata bekas suami yang mana dapat meneruskan kehidupan tanpa seorang lelaki juga boleh berjaya," ujarnya jangan cepat berputus asa.
Amelina dan bekas suami berpisah sekitar 2014.
Sementelah itu, ibu tunggal kepada enam cahaya mata yang ditemui pada sesi penggambaran drama bersiri 14 episod, Patah Sayap Bertongkat Paruh terbitan Zeel Production Sdn Bhd, di Kapar, Klang, turut menerima respon positif daripada peminat setia dan ibu-ibu tunggal.
"Alhamdulillah single dangdut biarpun sudah sebulan dimuatnaik di YouTube, ia sudah ditonton berulang kali sebanyak 159,000.
"Menariknya ada beberapa ibu tunggal yang saya tengok di media sosial menyanyi ikut kisah mereka, contohnya, aku janda anak tiga dan ada pula aku janda tak ada anak," ujarnya kepada Sinar Harian.
Mengenai pembabitannya sebagai watak Maznah, penyanyi yang lebih mesra disapa Kak Long berkata, ini merupakan penglibatan pertamanya membawakan watak berat.
"Awalnya saya ingatkan watak penampilan sahaja, makin lama saya tengok skrip makin banyak. Manakala wataknya pula berat, alhamdulillah sparing saya Elly Mazlien dan Cat Farish serta pengarah membantu," katanya jujur.