Panggil pemimpin politik bukan suatu desakan: KPN

Iklan
Abdul Hamid

IPOH - Tindakan polis memanggil beberapa pemimpin politik untuk mengambil keterangan bukan di atas desakan atau tekanan daripada kumpulan atau parti politik tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka dipanggil untuk dirakam kenyataan setelah meneliti beberapa laporan melibatkan beberapa individu berhubung isu berkaitan politik.

Iklan
Iklan

"Unit Siasatan Jenayah Terkelas sebelum ini telah meneliti laporan melibatkan beberapa individu seluruh negara berhubung isu berkaitan politik dan beberapa pemimpin politik baru-baru ini dipanggil untuk dirakam kenyataan.

"Tindakan ini bukan dibuat atas desakan mana-mana pihak. Saya memberi jaminan PDRM tidak akan mengambil tindakan seolah-olah cuba menekan mana-mana parti politik atau pemimpin negara. Saya tidak akan biarkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Pangkat Posthumous, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan bagi Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Mes Pegawai Kanan Bridged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, beliau memegang amanat yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta polis untuk tidak mengambil tindakan yang boleh menindas parti politik.

Jelasnya, ahli politik yang terlibat perlu dipanggil lebih awal tetapi ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

"Polis menunggu kelonggaran PKP. Mereka akan di dipanggil ke Bukit Aman dan proses dijalankan secara santai. Mereka dipanggil polis untuk memberi ruang dan peluang untuk menjelaskan laporan yang dibuat,” katanya.

Abdul Hamid berkata, polis akan mengambil tindakan jika siasatan mengesan wujud elemen fitnah dan berniat jahat.

Jelasnya, tidak timbul soal salahguna kuasa polis oleh kerajaan dan siasatan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan PDRM akan memanggil pemilik akaun Facebook ‘Hannah Yeoh’ bagi membantu siasatan berhubung kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut dan mengapikan mana-mana golongan yang tular di Facebook.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung temu bualnya bersama wartawan Al Jazeera, Mehdi Hasan.

Pada masa sama, Abdul Hamid menggesa perbalahan politik diselesaikan secara dalaman supaya tidak menimbulkan keresahan kepada orang ramai.