KUALA LUMPUR - UMNO bukan parti milik keluarga bagi menentukan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bakal ditandingi anak kepada mana-mana pemimpin parti itu.
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, nama beliau bukan seperti Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menentukan anaknya sendiri Mohd Nizar terpilih menjadi calon BN dalam PRK itu.
Menurutnya, dari segi jawatan parti, kepimpinan, pengalaman serta pendidikan untuk menjadi calon PRK, Mohd Nizar sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan memang sudah berkelayakan.
"Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO Bahagian Pekan dan rakan-rakan BN juga menyokong Nizar dicalonkan namun pendirian saya ialah, ada lagi pemimpin UMNO di sini yang setara atau lebih sesuai daripada Nizar untuk menjadi calon PRK DUN Chini.
"Lagipun, adalah amat janggal jika Nizar menang dan anak saya menjadi ADUN di sebuah Parlimen di mana saya adalah ahli Parlimennya," katanya melalui laman Facebook peribadinya hari ini.
Najib berkata, beliau juga telah berbincang pendirian itu dengan Mohd Nizar dan dia bersetuju malah berkobar-kobar untuk membantu calon dipilih.
"Lebih molek jika kita beri peluang pada pemimpin UMNO lain di sana yang lebih sesuai sebab itu, pilihan kita ialah Mohd Sharim Md Zain, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan," katanya.
Najib berkata, Mohd Sharim merupakan seorang anak tempatan dan anak peneroka Felda Chini 3 yang sudah lama berkhidmat di sana dan pernah menjawat sebagai pegawai kepada bekas penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.
"Kita amat yakin dengan kebolehan saudara Mohd Sharim dan yakin beliau akan berkhidmat dengan baik jika dipilih sebagai ADUN Chini," katanya.