Tindakan fokus kesalahan nombor pendaftaran tepat pada masanya

Iklan
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan

SHAH ALAM - Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi disifatkan tepat pada masanya.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, isu tersebut sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu dan masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kaedah diguna pakai JPJ dengan meminta kerjasama orang ramai mengambil gambar mana-mana kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi itu juga merupakan satu langkah ke hadapan dalam menangani isu tersebut.

"Bagi saya, kaedah ini amat baik namun orang ramai perlu memberi bantuan dan kerjasama dengan mengambil gambar kenderaan bersama nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi tersebut.

Iklan

"Malah, JPJ juga pastikan pesalah terlibat dapat datang ke mana-mana cawangan mereka untuk membuktikan bahawa mereka telah menukar nombor pendaftaran tersebut mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Plat SYG 8055 tarik 25 pembida

Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya akan memberi fokus pada tahun ini terhadap kesalahan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi sehingga mengelirukan dan sukar dicam.

Shaharuddin berkata, orang ramai yang melihat mana-mana pengguna lalu lintas yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi pada kenderaan supaya membuat aduan terus kepada JPJ menerusi e-mel.

Iklan

Dalam pada itu, Zaman Khan berkata, selain masalah nombor pendaftaran, penggunaan topi keledar tidak mengikut spesifikasi juga turut menimbulkan kebimbangan ekoran mengundang risiko bahaya lebih tinggi.

"Jika kita lihat sekarang, banyak peniaga cuba ambil kesempatan untuk memasarkan pelbagai jenis topi keledar dengan harga murah namun tidak mempunyai kualiti dan cop keselamatan Sirim," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan pemantauan terhadap peniaga-peniaga berkenaan dalam memastikan aspek keselamatan dalam pemakaian topi keledar dapat ditingkatkan.

Jelasnya, walaupun pemakaian topi keledar tidak menjamin keselamatan penunggang motosikal 100 peratus, namun ia turut membantu mengurangkan risiko bahaya ketika di jalan raya.