Jemaah syukur, teruja kembali tunai solat Jumaat

Iklan
Noh (kiri) memeriksa suhu dan mendaftar bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang di sini hari ini.

TANJONG KARANG - Jemaah Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang, di sini menzahirkan perasaan bersyukur dan teruja, malah ada yang menitiskan air mata apabila berpeluang menunaikan solat Jumaat di masjid itu yang dibuka semula hari ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Seorang jemaah, Mohd Yusof Mohammad, 68, berkata, beliau tidak menyangka namanya dipilih Surau Nurul Amin, Batu 8 untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peluang itu tentunya sesuatu yang ditunggu-tunggu selepas tidak dapat menunaikan solat itu sejak tiga bulan lalu.

"Pastinya terbit kerinduan untuk mengimarahkan masjid setelah lama tidak menjejak kaki di sini dan syukur apabila saya antara jemaah terpilih menunaikan solat Jumaat," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Yusof yang juga pesara kerajaan berkata, meskipun dalam keadaan norma baharu, namun beliau akur dengan setiap prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan bagi kebaikan semua pihak.

Seorang lagi jemaah, Shafie Sadikan, 56, berkata, sejurus dimaklumkan namanya terpilih menunaikan solat Jumaat, beliau hampir menitiskan air mata kegembiraan.

Iklan

Katanya, perasaan dapat menunaikan kewajipan itu sesuatu yang cukup istimewa dan sukar digambarkan dengan perkataan.

"Alhamdulillah saya terpilih dan mungkin sedikit berbeza kerana biasanya saya membawa tiga anak menunaikan solat Jumaat tetapi hari ini saya datang bersendirian," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang turut hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berterima kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid kariah dan mukim yang berada dalam zon hijau seluruh negeri ini bermula hari ini.

"Kami berterima kasih kepada baginda yang menitahkan solat Jumaat boleh diadakan di masjid dan saya berpeluang bersama dengan jemaah lain di Tanjong Karang," katanya.

Seramai 40 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Solat Jumaat, khutbah dan doa disempurnakan imam masjid itu, Mohd Shahid Abd Razak.

Berhubung pemilihan jemaah, Nazir Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang, Datuk Dr Mohd Mohadis Yasin berkata, pihaknya telah memanggil pengerusi surau dan wakil taman perumahan untuk menghadiri solat Jumaat pada hari ini yang keseluruhannya terhad kepada 40 jemaah sahaja.

"Kita telah bersetuju untuk meminta wakil surau dan taman perumahan untuk menghantar jemaah masing-masing bagi mengikuti solat Jumaat," katanya.

Beliau berkata, semua jemaah yang hadir turut diminta membawa sejadah masing-masing sebelum menjalani saringan suhu badan dan mendaftar sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

"Selain itu, kita juga menggalakkan mereka mengambil wuduk di rumah selain memastikan penjarakkan sosial dipatuhi," katanya.