Pemilihan jemaah berdasarkan kelayakan, bukan pilih kasih

Iklan
Seramai 80 jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Zahir hari ini mengikut SOP yang telah ditetapkan.

ALOR SETAR - Pemilihan 80 jemaah bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir hari ini dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan bukan berdasarkan pilih kasih.

Timbalan Imam Masjid Zahir, Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar berkata, kesemua yang terpilih ditapis berdasarkan permohonan dalam talian sebelum ini dan pihaknya akan memberikan peluang kepada orang lain pada solat Jumaat minggu seterusnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya masjid itu yang boleh bersolat sehingga 80 orang berbanding masjid lain, maksimum 60 jemaah sahaja.

"Pada minggu depan, kita pilih orang lain pula, jadi jangan ada yang terasa hati dan kita akan pastikan jemaah dapat peluang ini kerana dilakukan secara bergilir-gilir.

Iklan

"Pemilihan menerusi dalam talian sangat memudahkan pihak pentadbiran masjid.

"Ramai yang mahu bersolat di sini kerana ia menjadi tanda mercu Kedah selain terkenal sebagai empat masjid tercantik di dunia," katanya ketika ditemui di Masjid Zahir hari ini.

Iklan
Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim (kiri) membaca doa selepas mengimamkan solat Jumaat pada hari ini.

Terdahulu, beliau turut memberitahu, ahli kariah yang membuat permohonan dalam talian perlu memasukkan nama, alamat dan butiran diri.

Beliau berkata, walaupun ada rungutan daripada mereka yang tidak terpilih, namun pihaknya berharap mereka bersabar.

"Kami akan menapis mereka yang layak sahaja berdasarkan jumlah yang ditetapkan jabatan," katanya.

Sementara itu, seorang ahli kariah, Mohd Nor Akmal Omar, 27, berkata, beliau bersyukur kerana terpilih untuk solat Jumaat secara berjemaah di masjid itu sejak aktiviti ibadat tidak dibenarkan di masjid susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Beliau turut bersetuju dengan pemilihan jemaah dengan mendahulukan anak kariah terlebih dahulu berbanding ahli kariah luar kerana jumlah ditetapkan terhad.

"Saya pun dapat kebenaran untuk solat Jumaat di Masjid Zahir selepas dapat mesej semalam.

"Saya harap selepas ini akan lebih ramai jemaah akan ditambah bagi setiap kali solat Jumaat. Jemaah pun dilihat sudah faham dengan SOP yang telah ditetapkan," katanya.