KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri kesembilan susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mampu menerima sokongan maksimum 96 daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen.
Dalam kenyataan bersama pemimpin DAP dan Amanah, kedua-dua parti itu mendedahkan angka itu tidak mencukupi bagi membolehkan PH dengan kerjasama fraksi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan), membentuk kerajaan baharu.
Berikutan itu, DAP dan Amanah menegaskan pilihan kedua iaitu Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri bagi tempoh enam bulan dengan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.
"Jumlah 96 ahli Parlimen menyokong pilihan pertama melibatkan 91 sokongan ahli Parlimen PH meliputi 38 ahli Parlimen PKR, DAP (42) dan Amanah (11) dengan lima daripada Bersatu, termasuk Mahathir.
"Usaha terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi,"kata pemimpin DAP dan Amanah kepada media hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang juga dua bekas menteri dalam kabinet Dr Mahathir sebelum ini.
Khalid dan Anthony Loke turut menyuarakan kehairanan dengan pendirian terbaharu Majlis Pimpinan PKR kerana pilihan mengangkat kembali Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri telahpun diterima sebagai opsyen kedua dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dipengerusikan Anwar pada 30 Mei lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin parti itu mengharapkan PKR kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei lalu iaitu menerima opsyen kedua.
"Memandangkan ianya opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, adalah diharapkan PKR kembali kepada opsyen kedua.
"Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh diteruskan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional adalah jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara,"katanya.
Terdahulu, PKR membuat keputusan menolak cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu kenyataan berkata, satu mesyuarat khas bersama ahli Parlimen parti itu sudah diadakan dan mereka sebulat suara memilih Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan DAP telah membuat keputusan untuk menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH sementara Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, parti itu sudah membuat keputusan dan mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuat keputusan dengan segera.