BUTTERWORTH - Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen digesa mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dianggarkan kira-kira 30,000 veteran tentera yang masih belum berdaftar dengan JHEV ATM mengakibatkan mereka tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya.
Menurutnya, bukan sahaja bantuan wang tunai secara one-off atau bulanan yang diberikan malah mereka juga berpeluang mengikuti pelbagai latihan dan kursus kemahiran yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
"Kita masih menjaga bekas anggota kita sama ada berpencen atau pun tidak berpencen di bawah JHEV ATM bagimemastikan kebajikan mereka terbela.
"Ramai di antara mereka (veteran ATM) yang tidak mendaftar menyukarkan bantuan kerajaan dan lain-lain sukar disalurkan," katanya ketika ditemui media selepas melawat seorang veteran ATM tidak berpencen, Hassim Ahmad di Teluk Air Tawar di sini petang tadi.
Hassim, 75 sebelum ini berkhidmat selama 16 tahun dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan terpaksa mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan kerana anaknya yang baru dilahirkan ketika itu mengalami masalah kesihatan.
Dalam lawatan itu, Ismail menyerahkan bantuan wang tunai dan keperluan asas kepada Hassim yang kini menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan kerana tiada sumber pendapatan selain terpaksa menjaga isteri yang sakit serta seorang anaknya yang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Hassim ketika ditemui bersyukur dan terharu dengan bantuan yang diberikan malah dia tidak pernah menyangka Menteri Pertahanan sendiri akan turun menziarahinya di rumah.
Bapa kepada empat anak itu berkata, selepas menamatkan perkhidmatan dia melakukan pelbagai kerja bagi menampung kehidupannya sekeluarga termasuk bekerja sebagai tukang kebun di sekolah.
Selepas usianya mencecah 60 tahun, Hassim berkata, tiada sesiapa mahu mengambilnya bekerja sehingga mereka sekeluarga menjalani kehidupan sukar.
"Dugaan hidup saya lebih berat selepas isteri diserang penyakit saraf hingga menyukarkannya untuk bergerak malah anak ketiga yang kurang upaya tidak dapat menguruskan diri.
"Perbelanjaan bulanan tinggi kerana perlu menampung kos ubat, susu dan lampin pakai buang isteri dan anak, keadaan ini menyebabkan saya buntu memikirkan nasib kehidupan kami sekeluarga,"katanya.
Hassim berkata, walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan namun beliau bersyukur kerana nasibnya diberi perhatian malah turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang selama ini.