PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) nampaknya akan diadakan tidak lama lagi – kemungkinan besar ia akan diadakan jika gabungan parti pemerintah Perikatan Nasional (PN) gagal dalam pembentangan usul rang undang-undang berkait Covid-19 Julai nanti.
Sekiranya kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal untuk mengukuhkan sokongan di Parlimen, maka PRU15 dikatakan akan diadakan antara Oktober ke November tahun ini. Namun begitu, terdapat beberapa persoalan dan dilema besar yang sedang dihadapi PN saat ini.
Dilema utama tentulah tentang agihan kerusi majoriti Melayu dan juga calon Perdana Menteri pasca-PRU15 nanti. Umum mengetahui bahawa hakikatnya kerajaan PN hari ini didominasi UMNO, tetapi dua pemimpin utama PN ketika ini adalah daripada Bersatu dan bekas PKR – Muhyiddin dan juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perkiraannya mudah, kerajaan PN hari ini didirikan atas percaturan strategi politik Muhyiddin dan Azmin – disokong UMNO dan Pas yang inginkan pembentukan kerajaan Melayu-Islam yang dominan.
Muhyiddin hanya mengetuai 11 ahli Parlimen Bersatu manakala Azmin hanya mengetuai 10 orang ahli MP PKR yang lompat parti; tetapi mereka berjaya mengetepikan UMNO yang memiliki kerusi terbesar dalam PN di Parlimen dengan 39 kerusi. Malah Pas dengan 18 kerusi dan GPS Sarawak dengan 19 kerusi juga adalah lebih besar daripada kedua-dua kem Bersatu Muhyiddin dan juga bekas PKR, Azmin. Mengapa?
Situasi dominasi Bersatu kem Muhyiddin dan Azmin ke atas PN berbanding UMNO yang jauh lebih banyak memiliki kerusi Parlimen berkait dengan hakikat bahawa Muhyiddin merupakan bekas Menteri Dalam Negeri (KDN) ketika era PH dahulu, seperti mana Azmin ialah bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, manakala Dr Radzi Md Jidin (Bersatu) pula ialah bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah Azmin.
Jelas, ketiga-tiga pemimpin itu memiliki posisi yang cukup strategik dan kritikal ketika era PH sebelum ini, lalu mereka hari ini berada di kedudukan paling kanan dalam kerajaan PN: Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Azmin sebagai Menteri Kanan MITI (dianggap sebagai Timbalan Perdana Menteri de facto), manakala Radzi pula ialah Menteri Kanan Pendidikan. Pendedahan
Secara tidak langsung, ketiga-tiga pemimpin itu memiliki maklumat dan akses fail-fail yang cukup kritikal ketika dalam kerajaan PH dahulu yang boleh memberi tekanan kepada pemimpin UMNO hari ini yang menguasai 38 kerusi Parlimen. Cuba renungkan apa akses atau fail yang berada di tangan Azmin ketika beliau berada dalam Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang bertanggungjawab ke atas Khazanah dahulu.
Begitu juga dengan Timbalan beliau ketika itu, Radzi. Itu belum mengambil kira akses Muhyiddin sebagai Menteri KDN yang bertanggungjawab ke atas maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu. Hakikat itu bahkan didedahkan oleh Datuk Lokman Noor Adam sebelum Langkah Sheraton lagi yang menyatakan bahawa ada beberapa pemimpin UMNO terpaksa bekerjasama dengan Bersatu untuk ‘menyelamatkan tengkuk’ mereka. Kesemua hakikat itulah yang gagal difahami sebahagian pemimpin UMNO yang mempersoalkan keperluan PN bagi menghadapi PRU15 serta dominasi Bersatu dan kem Azmin dalam PN.
Benar, UMNO mungkin boleh mempersoalkan sejauh mana Bersatu dan Azmin memiliki sokongan di peringkat akar umbi – mereka tentulah jauh lebih lemah berbanding UMNO yang memiliki lebih tiga juta ahli di seluruh negara.
Namun dari segi kuasa politik, Muhyiddin, Azmin dan Radzi jelas memiliki dominasi ke atas sebahagian (bukan semua) pemimpin UMNO yang disifatkan Lokman Noor Adam sebagai perlu ‘menyelamatkan tengkuk’ mereka. Maka pilihan terbaik yang UMNO miliki saat ini demi kestabilan politik negara dan juga politik orang Melayu adalah dengan bersama-sama mengukuhkan PN.
* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda