AWAL pagi Khamis lalu, ketika menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris yang disambung semula selepas tergendala dek pandemik Covid-19, ada sesuatu yang menarik perhatian selain daripada keterujaan menonton perlawanan itu sendiri.
Ini apabila pemain daripada dua kelab yang bertembung itu, Manchester City dan Arsenal menunjukkan solidariti atas Black Lives Matter selepas insiden kematian George Floyd, lelaki berketurunan Afrika-Amerika ketika ditahan oleh pihak polis di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) pada 25 Mei lalu.
Sokongan mereka dizahirkan dengan mengenakan jersi tertera slogan Black Lives Matter di belakang yang lazimnya bertulis dengan nama pemain dan melakukan gerak isyarat melutut sebelah kaki kiri sebelum sepak mula perlawanan dilakukan.
Tapi pelik juga kenapa kempen Black Lives Matter dalam kes George Floyd ini disokong oleh semua pemain profesional di seluruh Eropah sedangkan hanya Mesut Ozil yang bersolidariti dalam kes etnik Uighur di Xinjiang serta Cristiano Ronaldo dalam kes di Syria. Di mana mereka ketika itu?
Dengan isu perkauman yang masih kuat membelenggu dunia bola sepak antarabangsa, momen itu sudah tentu akan digunakan sepenuhnya bukan sahaja bagi menyatakan sokongan, tetapi untuk menimbulkan kesedaran dan menekan pihak berwajib supaya lebih peka dan proaktif menangani permasalahan itu baik secara khusus mahupun umum.
Diperhatikan, solidariti terhadap gerakan itu sudah merebak menjangkaui tahap global dan tidak terhad kepada isu diskriminasi dan kemanusiaan semata-mata. Ia telah menyedarkan tentang wujudnya ketempangan sistemik yang sudah lama berlaku dalam masyarakat hampir di seluruh dunia.
Sebenarnya diskriminasi serta penindasan sudah lama berlaku bukan sahaja dalam bentuk perkauman, malah dalam bentuk seperti jantina, kasta, kelas dan sebagainya yang harus diperhatikan dan sama penting dengan yang lainnya.
Sebab itu Martin Luther King ketika menulis Warkah dari Penjara Birmingham mengaitkan sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan adalah suatu ketidakadilan. Ini disebabkan ketidakadilan walaupun di mana sahaja ia berlaku, akan mengancam keadilan di mana-mana pun. Tambah beliau, apa-apa yang mempengaruhi seseorang secara langsung akan mempengaruhi semua secara tidak langsung disebabkan ketidakadilan adalah ancaman kepada kemanusiaan.
Sepatutnya dalam kes George Floyd ini, dunia harus memanjangkan kepedulian tinggi terhadap rasisme di AS dengan melibatkan sama diskriminasi dan penindasan yang berlaku di Palestin, Syria, Xinjiang (Uighur) dan Arakan (Rohingya). Kalau dibandingkan dengan apa yang berlaku di Minneapolis, diskriminasi dan penindasan di wilayah-wilayah ini jauh lebih serius.
Walaupun kematian George Floyd hanya sebahagian daripada deretan sejarah panjang rasisme dan keganasan pihak berkuasa, ia setidak-tidaknya membuat dunia kembali peka dan bercakap tentang rasisme, diskriminasi dan kemanusiaan.
Cuma sedihnya, ketika seluruh dunia bercakap tentang hal ini, masyarakat antarabangsa masih tetap cenderung diam mengenai diskriminasi dan penindasan berskala besar berkait dengan etnik Uighur dan Rohingya.
Layanan dunia yang berbeza terhadap dua insiden itu jelas menunjukkan wujudnya hipokrasi dalam mengklasifikasikan krisis kemanusiaan mengikut selera dan perspektif masing-masing. Selagi mana keistimewaan menentukan agenda dan membentuk pemikiran terus dikuasai kelompok tertentu, selagi itulah kita akan berterusan terjebak dalam diskusi remeh tanpa melihat permasalahan sebenar.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara