Salah jika saya khianati amanah rakyat

Iklan
Mohd Shaid Rosli

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli tidak akan melibatkan diri dalam percaturan politik sebaliknya memilih untuk terus memikul amanah rakyat.

Mohd Shaid berkata, beliau tidak akan mengkhianati rakyat yang telah memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu untuk memastikan perubahan dalam pentadbiran negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, walaupun sebahagian pengundi mahukan perubahan melalui pilihan pada PRU lalu, namun katanya, rakyat perlu bersabar kerana mandat Pakatan Harapan mentadbir negara hanya 22 bulan.

"Pada saya bagus atau tidak kerajaan PH tidak boleh dinilai dalam tempoh 22 bulan kerana terlalu awal.

Iklan

"Berikan tempoh lima tahun dan selepas itu rakyat buat pilihan sama ada menukar atau mengekalkan kerajaan," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-174 bertajuk 'Kerajaan Pilihan Pengundi atau Pencatur Politik?' di Dewan Karangkraf malam tadi.

Katanya, secara peribadi beliau tidak pernah pilih kasih dalam urusan melibatkan kebajikan pengundi di kawasannya, tidak kira mereka pengundi PH atau pembangkang.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut menangkis dakwaan bahawa PH tidak menjaga kebajikan rakyat atau DAP telah mengambil hak keistimewaan orang Melayu.

"Saya ada tanya kepada rakan-rakan atas pagar tentang perkara ini dan saya jelaskan bahawa setiap bangsa itu ada rasa sayang kepada bangsanya.

"Apa hak kamu yang telah dirampas oleh DAP? Jika kamu kata DAP ada meminta atau mendesak, sama juga dengan MCA dan MIC ada membuat permintaan.

"Apakah permintaan mereka ini diberikan dan tidak ditolak oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Mengulas mengenai persoalan ramai berhubung tindakan Dr Mahathir melepaskan jawatan dan tidak menyerahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, Dr Mahathir melepaskan jawatan kerana beliau sedar telah kehilangan sokongan dan tidak ada apa yang perlu dibincangkan bersama rakan-rakan lain.

"Sebahagian pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengkhianati parti. Begitu juga dalam PKR sendiri. Dr Mahathir telah kehilangan majoriti sokongan.

"Dr Mahathir pastinya tidak akan melepaskan jawatannya kepada Anwar pada masa PH telah kehilangan majoriti. Anwar pastinya rasa terhina jika ia berlaku ke atas dirinya," katanya.