SHAH ALAM - Keputusan 8,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar daripada parti itu dilihat tidak memberi sebarang kesan terhadap kestabilan pentadbiran Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, tindakan keluar ramai-ramai secara beramai-ramai itu hanya memberi kesan dalam konteks PKR sahaja.
Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan sebilangan ahli PKR tidak berpuas hati terhadap Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri yang dikatakan gagal menyatupadukan PKR Sabah yang terjejas selepas peralihan kerajaan pusat.
"Jika di lihat dalam konteks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, PKR hanya mempunyai dua kerusi di Inanam (Kenny Chua) dan Api-Api (Christina Liew).
"Jadi ia mungkin tidak membawa apa-apa signifikan perubahan kepada kerusi dan juga kedudukan Parti Warisan sebagai pemerintah di Sabah. Begitupun dalam konteks politik di Sabah ketika ini mana-mana kerusi pun sememangnya amat berharga kerana perubahan kerusi yang berlaku mungkin akan menyebabkan implikasi negatif kepada Parti Warisan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan 8,000 ahli PKR yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu berkuat kuasa semalam.
Mengulas lanjut, Mujibu turut melahirkan kerisauan sekiranya ada perubahan dalam PKR akan membawa kepada perubahan dan lompat parti daripada komponen-komponen yang lain.
Bagaimanapun secara asasnya beliau membuat kesimpulan bahawa dua kerusi DUN di Sabah masih tidak cukup untuk meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Warisan.
Ditanya mengenai tindakan ahli PKR yang keluar parti secara beramai-ramai itu memudahkan lagi usaha bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk kembali merampas kedudukannya sebelum ini, Mujibu menyatakan bahawa beliau masih lagi skeptikal berhubung perkara itu.
Katanya, adalah lebih baik jika parti pembangkang di Sabah memikirkan bagaimana untuk menarik kerusi-kerusi bekas ahli-ahli Umno yang masih lagi duduk di dalam Parti Warisan atau pun cuba mengumpan mana-mana ahli daripada komponen Parti Warisan itu sendiri untuk bergabung dalam konteks merampas semula kerajaan Sabah.
"Bagaimanapun perkara ini saya masih tidak nampak atau ia mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat ini. Namun kita juga tidak boleh menaruh sedikit keyakinan bahawa ‘status quo’ di Sabah ini akan berkekalan kerana perkembangan politik di Sabah sejak kebelakangan ini menjadi semakin panas dan menarik.
"Malah kita juga masih lagi menantikan apakah ada rundingan di sebalik tabir yang memungkinkan barang kali kerajaan Sabah tumbang sepertimana yang berlaku di Kedah, Melaka dan juga di Johor,” katanya.