Kaki judi cuba rompak bilionair keempat terkaya di China

Iklan
Rakaman kejadian yang tersebar di YouTube.

FOSHAN - Biro Keselamatan dan Awam Perbandaran Foshan mendedahkan lima penceroboh yang cuba merompak dan menjadikan bilionair China, He Xiangjian, 77, sebagai tebusan merupakan kaki judi dan penagih.

Menurut laporan Global Times Jumaat lalu, lima penceroboh yang kini ditahan sebenarnya aktif berjudi sejak akhir tahun lalu dan merancang selama beberapa bulan untuk menahan bilionair yang juga lelaki keempat paling kaya di Tanah Besar China itu.

Iklan
Iklan
He Xiangjian

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis, salah seorang daripada mereka itu dengan nama pertama Li berusia 35 tahun dan tidak bekerja tetapi mempunyai ketagihan terhadap aktiviti berjudi.

Dia merancang penahanan bilionair itu dengan seorang lagi individu yang mempunyai nama pertama He bagi mendapatkan wang secara cepat.

Iklan

Li kemudian meminta tiga orang lagi yang berusia antara 27 tahun hingga 37 tahun melakukan perbuatan tersebut, menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan, Li yang ditemani seorang rakan jenayahnya pada malam 7 Jun lalu menaiki sebuah kereta dan memasuki rumah bilionair tersebut dengan mendakwa mereka membawa bersama-sama bahan letupan.

Iklan

Kelima-lima penceroboh itu kemudian mengancam penghuni rumah besar tersebut dan menuntut sejumlah wang.

Sebelum ini, tersebarnya kejadian bilionair itu dijadikan tebusan di rumahnya di bandar di Foshan di laman sosial Sina Weibo.

Media tempatan melaporkan, bilionair itu terselamat selepas seorang anak lelakinya berjaya melarikan diri dengan berenang menyeberangi sebatang sungai untuk menghubungi polis.

Dilahirkan di Guangdong pada tahun 1942, bilionair itu menduduki senarai keempat lelaki paling kaya di Tanah Besar China dengan kekayaan dianggarkan Forbes sebanyak AS$21.6 bilion (RM92.29 bilion).

Dia kini ialah Presiden Midea Holding Co. Jenama elektronik tersebut turut terkenal di pasaran Malaysia. - Agensi