KUALA KANGSAR - Tiga sekeluarga maut manakala dua yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM74, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kampung Kuak, Sauk di sini malam tadi.
Kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu membabitkan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Mangsa yang maut adalah Jurutera, Abdul Hakim Hashim, 32 dan isterinya, Nurul Huda Arifin, 31 serta anak mereka, Adib Aidan berusia dua tahun.
Mereka yang terselamat seorang lagi anak pasangan itu, Ammar Aiman berusia empat tahun yang cedera ringan dan pemandu Toyota Hilux berusia 33 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menuju ke Gerik.
"Setibanya dilokasi kejadian, tiba-tiba Toyota Hilux dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta mangsa lalu bertembung.
"Akibat pertembungan itu, Toyota Vios itu berpusing dan memasuki parit di kiri jalan mengakibatkan kesemua mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Nurul Huda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara empat yang lain dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar.
"Namun, polis menerima maklumat pemandu Toyota Vios meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam ketika menerima rawatan dan anak mereka turut disahkan meninggal dunia 5 minit kemudian.
"Bedah siasat dijalankan di Unit Forensik pada jam 10 pagi ini. Tangkapan dilakukan terhadap lelaki yang memandu Toyota Hilux tersebut,” katanya.
Razali berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Lenggong menggunakan kaedah ‘roof top remover’ dan ‘side remover’ untuk menyelamatkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan dan polis untuk tindakan selanjutnya.