KULIM - Seorang lelaki yang dipercayai tertekan dengan masalah rumah tangga mengelar tangan kirinya di sebuah rumah di Padang Serai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dipercayai bertindak demikian selepas bertengkar dengan isterinya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di rumahnya dekat Taman Serai Setia disyaki cuba membunuh diri.
Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat luka bekas torehan pada lengan kiri, salur darah dan otot terputus akibat terkena objek tajam.
"Mangsa ditahan wad untuk pembedahan dan pemeriksaan lanjut, namun keadaannya dilaporkan stabil," katanya.
Beliau berkata, mangsa dipercayai bergaduh dengan isterinya menyebabkan wanita itu pulang ke kampungnya di Pulau Langkawi sejak tiga hari lalu dengan alasan mahu bersendirian dan menenangkan diri.
Pasangan itu dilaporkan berkahwin empat tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 2 tahun yang berada dalam jagaan keluarga mangsa di Sarawak.
Polis turut merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kes terbabit.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.